Monday, March 24, 2014
Satu Malam Di rumah Panjang
by Anthony Loke Siew Fook
SAYA berpeluang bermalam di sebuah rumah panjang; Rumah Ugop di Kuala Sigu, Daerah Sebauh, Bintulu Jumaat lepas dan merasmikan Projek Air Paip Graviti untuk rumah panjang tersebut.
Projek ini dijalankan di bawah Program Impian Sarawak. Perasmiannya berlangsung pagi semalam bersama Adun Kidurong (Sarawak) Sdr Chiew Chin Sing dan Adun Pengkalan Rinting (Johor) Sdr Cheo Yee How.
Rumah panjang tersebut terletak jauh di pedalaman Sarawak dan mengambil masa kira-kira 3 jam perjalanan menaiki bot laju untuk sampai ke sana.
Pasukan Impian Sarawak dengan lebih 10 sukarelawan dari Semenanjung bergotong-royong bersama penduduk rumah panjang untuk membina sebuah empangan di atas bukit dan memasang paip air sepanjang 4 km dari bukit untuk disambung ke setiap pintu dalam rumah panjang tersebut yang mempunyai 43 pintu dalam masa hanya satu minggu.
Cabaran logistik amat besar dalam merealisasikan projek tersebut. Ini kerana kedudukan rumah panjang tersebut amat terpencil dan lori yang mengangkut 40 batang paip air 100 meter setiap satu tidak dapat sampai ke lokasi kerana jambatan kayu yang amat daif dan jalan tanah liat yang amat teruk yang hanya boleh dilalui dengan kenderaan pacuan empat roda.
Empat puluh batang paip air tersebut perlu diangkut melalui sungai dengan ditarik oleh sebuah bot kecil selama 3 jam.
Namun setelah pelbagai cabaran berjaya dirintangi, akhirnya projek tersebut dapat disiapkan. Impian penduduk rumah panjang tersebut yang merupakan masyarakat Iban untuk mendapat bekalan air paip sepanjang masa telah direalisasikan!
Sebelum ini, setiap pintu dalam rumah panjang tersebut hanya dibekalkan dua tangki air 1Malaysia untuk mengisi air hujan untuk kegunaan kehidupan harian. Inilah “politik pembangunan” yang telah dibawa oleh BN Sarawak kepada masyarat luar bandar selepas 50 tahun pembentukan Malaysia. – Roketkini.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment