Thursday, March 27, 2014

Seru Mayat, Azan Dipinggir Laut, Raja Bomoh Kebal. JAIPK Dipersoal?

 
Pemuda PAS Perak kecewa terhadap aktiviti 'Raja Bomoh' Ibrahim Mat Zin yang menurut mereka masih berleluasa dengan perbuatan “khurafat dan syirik”, terbaru di negeri itu.

Ketuanya Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob berkata, perbuatan itu masih diamalkan walaupun mufti Tan Sri Dr Haji Harussani Haji Zakaria sendiri sudah memintanya bertaubat.

Justeru Raja Ahmad (kanan) mempersoalkan peranan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dalam mencegah dan menghalang amalan itu.

“Kami mendesak agar JAIPk bertindak dan menghentikan perbuatan yang jelas bercanggah dengan Islam tersebut.

“Jika Ibrahim tidak diambil tindakan, ia seolah-oleh Ibrahim 'amat kebal' dan tidak 'boleh disentuh'!” katanya.

Ibrahim sebelum ini mencuri perhatian ekoran gaya tersendirinya bagi merungkai kehilangan pesawat MH370 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Aktiviti itu mengundang kecaman meluas pelbagai pihak termasuk menteri dan mufti. Beliau juga menjadi bahan lawak jenaka di Internet.

Dalam kenyataannya hari ini, Raja Ahmad berkata, Ibrahim yang didakwanya mempunyai ramai kenalan daripada "pembesar negeri" tidak harus terlepas.

Azan di pinggir laut

Sementara itu, sebuah saluran di laman perkongsian video Youtube dikesan memuat naik aktiviti yang dirujuk itu, kononnya untuk 'menyeru mayat' MH370 di Pulau Sembilan, Perak.

Ditonton lebih 75,000 kali, video itu antaranya memaparkan Ibrahim dan empat lagi lelaki menaiki bot sambil seorang daripadanya membuat gaya meneropong.

Sedutan video Suara.TV itu juga memaparkan aksi menguis kayu berbentuk seperti tongkat ke dalam air seolah-olah mencari sesuatu.

Dalam babak yang lain, dipaparkan pula dua lelaki merentang buluh panjang yang digantung dengan beduk dan diketuk berapa kali sebelum diikuti Azan di pinggir laut.(MK)

No comments:

Post a Comment