By Ahmad Tajdid
MH370: Bila menteri gagal jaga mulut
KITAsepakat untuk menyatakan kehilangan pesawat
MH370 dengan 227 penumpang dari 14 negara sebagai satu tragedi hitam
negara. Dan sehingga saat ini, rakyat Malaysia daripada segala lapisan
kaum dan agama berharap dan berdoa moga pesawat Boeing 777-200 milik
Malaysia Airlines yang hilang dalam penerbangan ke Beijing sejak pagi
Sabtu lalu selamat ditemui.
Tempoh penantian lebih 72 jam sejak insiden itu berlaku dinanti penuh
debaran oleh rakyat negara ini apatah lagi keluarga mangsa. Namun
berita-berita yang tersebar di alam maya berhubung insiden itu
menambahkan resah dan tidak meredakan debaran dada.
Seorang pensyarah universiti tempatan menyifatkan berita-berita
sensasi tentang kehilangan MH370 yang tersebar di alam maya sebagai
'mencemar institusi kewartawanan'. Berita dan ulasan yang berlegar di
media sosial itu, jelas beliau tidak disahkan kebenarannya dan ini
pastinya bertentangan dengan etika kewartawanan.
Memang diakui tindakan menyebarkan berita yang tidak diketahui sumber
dan intergritinya itu boleh memudaratkan kepentingan awam. Bagaimanapun
umum mengetahui bahawa maklumat yang didapati di alam siber bukanlah
sesuatu yang boleh diterima bulat-bulat apatah lagi jika ianya tanpa
sumber, bersifat 'cakap dengar' (hearsay) atau lebih teruk cuma
'salin dan tampal' (copy and paste).
Tapi jika kenyataan itu datang daripada seorang menteri apatah lagi
menteri kanan, ia suatu yang perlu diberikan perhatian serius.
Oleh kerana itulah kita melahirkan rasa amat dukacita dengan sikap
tidak cermat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang
dilapor mengecam pegawai imigresen bertugas dalam insiden penggunaan
pasport curi oleh dua penumpang pesawat MH370.
Zahid ketika bercakap dalam satu sidang media di Seri Perdana,
Putrajaya, 9 Mac lalu menyifatkan pegawai imigresen berkenaan sebagai
'tidak boleh berfikir'.
"Saya masih hairan tak kan (pegawai imigresen) tak boleh fikir, orang
Itali dan Austria tapi muka macam orang Asia," katanya kepada
pemberita.
Sehubungan itu beliau berkata siasatan terperinci akan dilakukan
terhadap Jabatan Imigresen cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA).
"Kita akan lakukan siasatan dalaman terutama ke atas pegawai yang
bertugas di kaunter Imigresen KLIA semasa penerbangan MH370," katanya.
Siasatan itu, ujarnya akan dijalankan pasukan khas diketuai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Aloyah Mamat.
Tidak sampai 24 jam selepas memberikan kenyataan 'tidak berlapik' itu, satu tamparan singgah di muka Zahid.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul
Rahman dalam sidang akhbarnya mengesahkan bahawa dua penumpang lelaki
pesawat MH370 yang menggunakan pasport curi itu tidak memiliki paras
rupa Asia.
"Kami telah berulang-ulang melihat semua gambar video, mereka tidak
menyerupai lelaki Asia," katanya kepada ratusan pemberita asing dan
tempatan yang masih bersesak menghadiri sidang akhbar pada lewat malam,
10 Mac.
Beliau menegaskan selepas meneliti gambar-gambar video (CCTV) dari kawasan berlepas, semua protokol keselamatan telah dipatuhi.
"Ada kemungkinan wujud sindiket pasport curi," kata beliau.
Tamparan kedua dirasai Zahid ekoran sidang akhbar Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Aloyah Mamat pada petang 11 Mac.
Aloyah mendedahkan bahawa penumpang yang menggunakan pasport curi
warga Austria, Christian Kozel tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.28 malam 28 Februari.
Seorang lagi penumpang yang menggunakan pasport curi warga Itali,
Luigi Maraldi tiba pada 8.31 malam dari Phuket, Thailand menerusi
penerbangan QR849 Qatar Airways.
Kedua-dua mereka diberi pas lawatan sosial 90 hari.
Penumpang pertama diberi kebenaran untuk berlepas dari KLIA pada 8.07
malam manakala penumpang kedua pula mendapat kebenaran pada 8.31 malam.
Aloyah berkata, pegawai imigresen yang bertanggungjawab memberi
kebenaran kepada kedua-dua penumpang itu mematuhi prosedur operasi
standard (SOP) apabila mendapati pembawa dan gambar di dalam pasport itu
sepadan.
Alangkah baiknya bagi Zahid jika bersabar dan menunggu hasil siasatan
sebelum mengeluarkan kenyataan mempertikaikan pegawai imigresen
bertugas.
Jika sebelum ini kenyataan kontroversi Zahid banyak merujuk kepada
isu-isu dalam negeri, namun kini ia menjadi perhatian antarabangsa
kerana tragedi yang berlaku membabitkan warga, sempadan, tentera dan
pemerintah asing.
Mungkin benar ulasan seorang pembaca:
"Institut Tadbiran Awan Negara (Intan) perlu membantu para
menteri kita menangani stres, public speaking, enkod dan dekod data,
risiko penyebaran maklumat penting, antara kepuasan diri bercakap dan
kepentingan negara...
"Dedah kelemahan jentera sendiri dengan menegur dan memberi
amaran keras secara terbuka hingga satu dunia tertanya-tanya. Di kala
rakyat masih bersimpati dengan MH370 dan harga barang yang tidak
menentu, lawak ayam seekor seringgit mengundang kritikan rakyat...
"Institusi yang melatih pegawai kanan kerajaan perlu berbuat
sesuatu... Tegur, nasihat dan perbetulkan... Bijak sana-sini diperlukan
untuk mentadbir negara dipersada rakyat dan dunia."
Biarlah teguran itu mengakhiri rencana ini. (HD)
1 comment:
tengok saja lah sikap & sifat menteri2 didalam parlimen, INTAN pun tak dapat nak melatih mereka ini, camana nak hormat kalu pak menteri dah bergelar dato', tan sri, tun pun ada sedangkan pelatih hanya encik atau puan sahaja...
Post a Comment