Monday, March 24, 2014
Wan Azizah: Peningkatan Undi Melayu Trend Positif Ke Putrajaya.
KAJANG: Calon PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan kemenangannya pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang sebagai membuktikan keberkesanan 'Langkah Kajang'.
Beliau juga menyifatkan kemenangan ini sebagai langkah pertama menuju Putrajaya, dengan peningkatan undi di kebanyakan saluran 5, 6 dan 7 yang merupakan saluran undi golongan muda.
Kemenangan itu juga, katanya lebih manis apabila Pakatan Rakyat berjaya meningkatkan undi Melayu, selain berjaya memenangi dua kawasan Melayu yang dahulunya dimenangi BN.
"Peningkatan undi Melayu terhadap kita menunjukkan trend yang positif yang boleh memberikan kemenangan dan terus ke Putrajaya," kata beliau kepada media.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di pusat penjumlahan undi, Kompleks Sukan MPKj, Bandar Baru Bangi, sejurus selepas diumumkan sebagai Adun baru Kajang.
Dalam pada itu, Wan Azizah menjelaskan penurunan majoriti diperolehi PKR kali ini terkesan dengan jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah berbanding pilihan raya umum (PRU) lalu.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pengundi Dun Kajang yang memilih beliau sebagai wakil rakyat selain jentera parti dari PKR, PAS dan DAP yang bertungkus-lumus sepanjang kempen selama ini.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai pengarah PRK Kajang, Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang berperanan sepanjang kempen ini," ujarnya.
Presiden PKR itu turut mengulangi komitmen untuk menunaikan semua perkara yang terkandung dalam manifestonya sebagai langkah awal khidmatnya kepada penduduk Kajang. Dr Wan Azizah memenangi kerusi Dun Kajang dengan majoriti 5,379 undi. Beliau meraih 16,741 undi manakala calon BN memperolehi 11,362. (HD)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Alhamdulillah syukur, tahniah DSWA berjaya dipilih jadi ADUN Kajang. Laksanakan t/jawap kpd penduduk Kajang tanpa mengira latar parti mereka, berbeza dgn sifat BN selama ini.
Post a Comment