Thursday, March 27, 2014

Wasiat: Drama & Filem Melayu Mengelirukan. -MUIP


HALAMAN HIBURAN
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) meminta umat Islam yang ingin melakukan pembahagian harta pusaka membuat permohonan menerusi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

Timbalan Yang Dipertua Muip Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata ini bagi mengelak dari ditipu dan kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak yang menawarkan perkhidmatan pengurusan wasiat dan harta pusaka.

"Terdapat agensi yang mengambil kesempatan terhadap orang Islam yang kurang arif mengenai harta pusaka sehingga mengenakan bayaran mencecah RM3,000 sedangkan jika permohonan dibuat melalui JKPTG, tiada bayaran permohonan pun dikenakan.

"Bayaran hanya dikenakan setelah permohonan selesai dan jumlahnya adalah minimum berdasarkan kepada jumlah harta pusaka," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Pengurusan Harta Pusaka peringkat negeri Pahang di Kuantan semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Datuk Seri Azemi Kasim.

Program itu bertujuan memberi input yang berkesan serta menambahkan kefahaman peserta kursus yang merupakan sumber rujukan masyarakat bagi menyelesaikan isu dan permasalahan berkaitan harta pusaka.

Dalam pada itu Wan Abdul Wahid meminta umat Islam supaya supaya tidak keliru dengan drama dan filem yang menyiarkan mengenai wasiat dan pembahagian harta pusaka kerana kebanyakannya adalah tidak menepati hukum syarak.

"Bukan setakat filem Melayu lama, dalam drama baharu sekali pun, ada adegan yang mana si mati mewasiatkan 80 peratus daripada hartanya kepada seseorang dan ini menambah kekeliruan masyarakat.

"Al-Quran telah menyatakan hukum dan cara pembahagian harta pusaka dalam kalangan waris, dengan tujuan untuk memberi keadilan kepada semua waris dan mengelak pergaduhan, ini perlu diikuti," katanya.

- Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails