Monday, April 14, 2014

4 Perkara, Apa Tarikan Istimewa Pemilu Indonesia? -Ahmad Lutfi

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Hasrat saya untuk meninjau proses pilihan raya Indonesia baru-baru ini terpaksa ditangguhkan. Insya-Allah, menjelang pemilihan Presiden, dijangka Julai nanti, saya berharap dapat meneliti sendiri suasana kempen yang cukup demokratik itu.

Selepas reformasi 1998, yang menyaksikan Suharto ditumbangkan dengan kuasa rakyat, republik itu melalui fasa-fasa perubahan - khususnya berkait kebebasan bersuara - yang mengkagumkan.

Sebagai wartawan, tentu sekali minat saya lebih tertumpu kepada faktor akses media buat calon-calon dan parti yang bertanding. Ketika tuntutan Bersih di Malaysia langsung tidak dipedulikan, pengundi Indonesia sudah lebih 15 tahun menikmati "kebebasan akhbar yang lumayan".

Di bawah Orde Baru, akhbar di sana ditindas, wartawan-penulis yang berani diburu, majalah independen digantung, malah penguasa Indonesia yang sukar menerima pandangan berbeda,  melalui pegawai kedutaannya di Kuala Lumpur pernah menegur liputan Harakah yang tidak disenangi mereka!

Tentulah kemunculan media bebas dan adil itu tidak datang dengan sendiri. Ia diperjuangkan sejak lama - juga memakan korban - dan bukannya ehsan pemerintah yang melonggarkan kawalan. Semasa Jakarta merayakan kemenangan reformasi pada 1998, Kuala Lumpur bermuram durja apabila regim Dr Mahathir Mohamad terus kekal berkuasa pada 1999.

Berdepan beberapa kali pilihan raya selepas Suharto ditumbangkan, media Indonesia menyajikan liputan yang relatif berimbang dan adil. Menurut pemerhati politik, "dibandingkan dengan Amerika pun, media massa di negara kita mampu menjaga jarak dengan para calon Pemilu," merujuk integriti media yang bukan saja tidak memihak tetapi "sukar dibeli".

Dan saya turut tertarik dengan ungkapan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Mac 2014: "Jika anda suatu saat menjadi presiden yang sedang memerintah dan kemudian ikut pilpres lagi, maka jangan kecil hati dan jangan marah jika dunia pers tidak berpihak kepada anda."

Dalam pertemuan dengan wartawan di Surabaya, 5 April, Susilo memberi jaminan: "Media juga sudah tentu akan mengawal perjalanan Pemilu agar bebas."

Tidak perlu  dinukilkan semula situasi yang cukup kontradik di negara kita. Hampas! Tuntutan parti pembangkang untuk mendekati media, bagai anjing menyalak bukit. Bukan hanya berita "dipadamkan" tetapi lebih jelik apabila kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat kerap diputarbelit.

Najib Razak bukan hanya disorot paling eksklusif atas kapasiti Perdana Menteri, malah aktiviti dan ucapannya sebagai Presiden Umno pun disiarkan secara langsung oleh TV kerajaan dan swasta. Benar kata seorang bekas Ketua Hakim Negara, kedudukan istimewa PM Malaysia turut dicemburui Presiden Amerika Syarikat!

Media Malaysia dikawal melalui undang-undang yang menekan, misalnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, serta dasar pemilikan yang ketat. Selain organ parti yang terbatas pengedarannya - Harakah, Suara Keadilan dan Roket - kelulusan permohonan permit akhbar hampir mustahil diberikan kepada pengusaha yang bebas daripada pengaruh elit penguasa.

Selepas dua minggu meneliti Pemilu Indonesia, Dr Agus Yusof, pada 10 April lalu merumuskan beberapa penambahbaikan proses pilihan raya di negara kita berdasarkan pengalaman Indonesia:

1.Media kita perlu lebih terbuka supaya tidak lagi menyajikan pandangan sebelah pihak.

2.Media kita tidaklah perlu terlalu mempropagandakan sesuatu isu sehingga menceroboh intelek rakyat.

3.Media kita hendaklah mengajak pemimpin utama berbahas di TV supaya rakyat berpeluang menilai keupayaan dan kewibawaan mereka.

4.Ketua parti yang bertanding hendaklah dimunculkan di TV untuk menyampaikan visi dan misi perjuangan serta mempertahankannya  dengan mengambil soalan daripada moderator atau penonton.

Sehari sebelum itu, juga dalam akaun Facebook, Dr Agus  mencatatkan: "Ulasan dan analisis panelis Pemilu 2014 di pelbagai saluran TV di Indonesia seimbang sekali. Tidak ada bodek-membodek, caci maki dan keji mengeji.

"Analisis mereka tertumpu kepada pembentukan dasar kerajaan yang menjadi harapan rakyat selepas daripada pemilihan ini. Perbahasan adalah tentang idea bernegara. Rakyat diberikan ruang untuk berfikir. Hebatnya tanggungjawab media di sini. Terujanya."

Dalam pada itu, tulisan Affendy Hasni, Presiden Persatuan Mahasiswa Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, yang turut berpengalaman menyaksikan kempen Pemilu 2014, elok diteliti:

"Saya begitu terkejut dengan menonton iklan kempen oleh setiap parti yang bertanding di kaca TV tanpa henti. Tidak kisahlah parti pemerintah ataupun parti pembangkang, semuanya diberikan peluang untuk menyampaikan manifesto masing-masing.

"Setiap parti politik yang berkempen di TV menggunakan pelbagai idea yang kreatif dalam memikat pengundi. Ini adalah keadaan yang saya tidak lihat dalam pilihan raya lepas di Malaysia.

"Saya adalah pengundi pertama kali dalam PRU13. Rata-rata pengundi muda seperti saya terpaksa beralih ke medium selain TV arus perdana bagi mendapatkan maklumat mengenai parti-parti lain yang bertanding. Kami terpaksa ke beralih ke Facebook, Twitter ataupun laman web rasmi pembangkang."

Jika tahun lalu, sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2013, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang saya terajui telah menganjurkan Konvensyen Akses Media dalam PRU13, kali ini ada cadangan sekitar tarikh 3 Mei, pengalaman media Indonesia dalam Pemilu 2014 boleh dikongsi lebih ramai audien.

"Usaha menuntut kebebasan media, sekurang-kurangnya hak untuk terbit akhbar, juga sampai memiliki stesen TV... jangan patah di tengah jalan. Lawan sampai berhasil. Jadikan Indonesia sebagai rujukan," seorang rakan lama, editor kanan berpengalaman lebih 30 tahun, sentiasa berpesan.

Apa pun, menjelang pilihan raya presiden Indonesia, saya bertekad mengikutinya dari dekat. Bukan tarikan Jokowi atau siapa jua tokoh yang bakal bertanding, tetapi  liputan media negara jiran itu - bebas dan seimbang - sebenarnya yang menggamit. (HD)

No comments:

Post a Comment