HALAMAN HIBURAN
KOTA BHARU:
Di mana ada usaha, di situ ada kejayaan. Sesungguhnya Allah tidak
pernah mensia-siakan rayuan, permohonan, pengharapan dari setiap
hamba-Nya yang tidak pernah berputus asa kerana Allah itu maha
mendengar.
Apa yang penting, bulatkan pengharapan hanya pada Allah, lakukan sesungguhnya melalui amalan murni yang digalakkan oleh syariat.
Artis Noryn
Aziz atau nama sebenar Norazmahwati Abdul Aziz, 38, tidak putus-putus
berdoa dan bermunajat pada Allah untuk mendapatkan zuriat selepas
berkahwin dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul
Bahrain Shah lebih empat tahun lalu. Selain
mendapat rawatan akupuntur, Noryn tidak meninggalkan kaedah Islam, iaitu
menunaikan solat sunat hajat, tahajjud dan solat sunat Dhuha.
“Alhamdulillah,
Noryn menunaikan solat sunat Dhuha, sebab untuk mendapatkan rezeki dari
Allah kita kena rajin berusaha dan meminta.
“Rezeki ni
bukan hanya harta benda, wang ringgit sahaja, sebaliknya zuriat juga.
Walau apa keadaan sekalipun kita jangan lupa Allah kerana Allah yang
akan memberi apa yang kita mahu, bukannya orang lain,”ujarnya.
Berkongsi
lagi tips untuk mendapatkan zuriat, beliau mengakui pernah berkongsi
ilmu dengan isteri Mursyidul Am PAS, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak
ketika ke Kelantan tahun lalu.
Menurutnya,
beberapa bacaan dari ayat-ayat al-Quran diajar Tuan Sabariah dan beliau
amalkan sehingga akhirnya khabar gembira diperolehi Januari lalu.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah impian
saya dan suami untuk mendapatkan anak tercapai dan Alhamdulillah doktor
mengesahkan bayi yang saya kandung ni sehat,” ujarnya.
Berikutan
kehamilannya itu, beliau kini mengurangkan aktiviti pertunjukan kecuali
menghadiri program kebajikan atau yang perlu sahaja.
Aktiviti harian beliau kini banyak dihabiskan dengan membaca Al-Quran serta buku-buku ilmiah.
Katanya, ruang yang paling sesuai baginya membaca Al-Quran adalah antara solat Maghrib dan Isyak.
“Sementara
menunggu solat Isyak, saya membaca Al-Quran dahulu, saya rasa inilah
ruang yang begitu sesuai, kita juga boleh membacanya dengan baik serta
tidak terkejar-kejar,”ujarnya.
Pada masa
yang sama Noryn masih memenuhi kelas agamanya iaitu mempelajari tafsir
Al-Quran dan hadis dengan menghadiri kelas Al-Quran.
Baginya, amat tidak wajar hanya membaca tanpa mengetahui maksud ayat yang dibaca.
“Satu lagi
tips yang saya dapat, beristighfar banyak-banyak setiap hari di samping
berdoa, Insya Allah dengan jiwa yang bersih dan pengharapan yang tinggi
Allah akan perkenankan,” ujarnya.
Pada masa yang sama Noryn turut menjual pakaian muslimah dengan jenama sendiri.
Bagi Noryn untuk menjadi seorang artis tidak salah asalkan seseorang itu tahu mengimbangi antara keperluan duniawi dan ukhrawi.
“Dalam kita bersama masyarakat, berhibur, namun pada masa yang sama kita jangan lupakan akhirat,” ujarnya.
Selepas
mengambil keputusan untuk bertudung, Noryn lebih menumpukan persembahan
tertutup yang hanya dihadiri oleh penonton wanita sahaja. (IH)
No comments:
Post a Comment