Sunday, April 06, 2014

Artis Noryn Aziz, Dah 8 Tahun Baru Impian Dimakbul Allah..

 



HALAMAN HIBURAN

KOTA BHARU:  Di mana ada usaha, di situ ada kejayaan. Sesungguhnya Allah tidak pernah mensia-siakan rayuan, permohonan, pengharapan dari setiap hamba-Nya yang tidak pernah berputus asa kerana Allah itu maha mendengar.

Apa yang penting, bulatkan pengharapan hanya pada Allah, lakukan sesungguhnya melalui amalan murni yang digalakkan oleh syariat.

Artis Noryn Aziz atau nama sebenar Norazmahwati Abdul Aziz, 38, tidak putus-putus berdoa dan bermunajat pada Allah untuk mendapatkan zuriat selepas berkahwin dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrain Shah lebih empat tahun lalu. Selain mendapat rawatan akupuntur, Noryn tidak meninggalkan kaedah Islam, iaitu menunaikan solat sunat hajat, tahajjud dan solat sunat Dhuha.

“Alhamdulillah, Noryn menunaikan solat sunat Dhuha, sebab untuk mendapatkan rezeki dari Allah kita kena rajin berusaha dan meminta.
“Rezeki ni bukan hanya harta benda, wang ringgit sahaja, sebaliknya zuriat juga. Walau apa keadaan sekalipun kita jangan lupa Allah kerana Allah yang akan memberi apa yang kita mahu, bukannya orang lain,”ujarnya.
 
Berkongsi lagi tips untuk mendapatkan zuriat, beliau mengakui pernah berkongsi ilmu dengan isteri Mursyidul Am PAS, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak ketika ke Kelantan tahun lalu.

Menurutnya, beberapa bacaan dari ayat-ayat al-Quran diajar Tuan Sabariah dan beliau amalkan sehingga akhirnya khabar gembira diperolehi Januari lalu.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah impian saya dan suami untuk mendapatkan anak tercapai dan Alhamdulillah doktor mengesahkan bayi yang saya kandung ni sehat,” ujarnya.

Berikutan kehamilannya itu, beliau kini mengurangkan aktiviti pertunjukan kecuali menghadiri program kebajikan atau yang perlu sahaja.

Aktiviti harian beliau kini banyak dihabiskan dengan membaca Al-Quran serta buku-buku ilmiah.
Katanya, ruang yang paling sesuai baginya membaca Al-Quran adalah antara solat Maghrib dan Isyak.

“Sementara menunggu solat Isyak, saya membaca Al-Quran dahulu, saya rasa inilah ruang yang begitu sesuai, kita juga boleh membacanya dengan baik serta tidak terkejar-kejar,”ujarnya.
Pada masa yang sama Noryn masih memenuhi kelas agamanya iaitu mempelajari tafsir Al-Quran dan hadis dengan menghadiri kelas Al-Quran.

Baginya, amat tidak wajar hanya membaca tanpa mengetahui maksud ayat yang dibaca.

“Satu lagi tips yang saya dapat, beristighfar banyak-banyak setiap hari di samping berdoa, Insya Allah dengan jiwa yang bersih dan pengharapan yang tinggi Allah akan perkenankan,” ujarnya.
Pada masa yang sama Noryn turut menjual pakaian muslimah dengan jenama sendiri.
Bagi Noryn untuk menjadi seorang artis tidak salah asalkan seseorang itu tahu mengimbangi antara keperluan duniawi dan ukhrawi.
“Dalam kita bersama masyarakat, berhibur, namun pada masa yang sama kita jangan lupakan akhirat,” ujarnya.

Selepas mengambil keputusan untuk bertudung, Noryn lebih menumpukan persembahan tertutup yang hanya dihadiri oleh penonton wanita sahaja. (IH)

No comments:

Post a Comment