Tuesday, April 22, 2014

AS Rampas Pulau Diego Garcia, Penghuninya Dihalau..


"AYAH beritahu, bahawa kami mesti meninggalkan pulau ini (Diego Garcia) kerana orang Amerika akan berpindah masuk dan ia tidak lagi selamat untuk kami sekeluarga.
"Anda boleh bayangkan tekanan yang mereka letakkan ke atas kami. Saya menangis dan berpaut pada kaki ibu dan walaupun masih kecil ketika itu, saya sedar bahawa kami telah meninggalkan sesuatu yang berharga dan ia merupakan rumah kami." Luah Alexis.

Sudahlah mereka dihalau, haiwan peliharaan mereka, terutama anjing dibunuh tentera British menggunakan gas dan kemudiannya dibakar. Begitu, kisah keluarga Jeannette Alexis antara penduduk Diego Garcia terakhir dipindahkan meninggalkan Pulau Diego Garcia ke Mauritius dan Seychelles.
Chagossians-protest-Diego-Garcia
Penduduk asal merupakan petani dan nelayan.

Bermula pada tahun 1967, setiap orang Chagos yang meninggalkan Pulau Diego Garcia untuk rawatan perubatan atau bercuti di Mauritius, tidak lagi dibenarkan pulang ke tanah air mereka, Pulau Diego Garcia. Tanpa ditemani keluarga atau harta benda, penduduk asal pulau yang terletak di jantung Lautan Hindi itu terpaksa merempat di penempatan setinggan Mauritius. Sehingga tahun 1973, hampir 1,200 orang Chagos dipindah secara paksaan ke Mauritius dan Seychelles.

Marcel Moulinie, pengurus sebuah ladang kelapa di pulau berkeluasan 44 kilometer (km) persegi itu menceritakan, dia diarahkan kerajaan British untuk memindahkan semua penduduk keluar.

"Apabila tiba waktu berpindah, mereka tidak dibenarkan membawa apa-apa selain beg berisi baju. Kapal kargo pemindahan yang digunakan pula kecil dan mereka terpaksa berhimpit selama lima jam," dedah Moulinie.

Penduduk Diego Garcia memberitahu bahawa mereka meninggalkan syurga dan dicampak ke neraka apabila tiba di Pelabuhan Louis, Mauritius. Berbekalkan kepakaran menangkap ikan dan berkebun, tanpa kemahiran profesional, mereka berdepan kesulitan mengadaptasi kehidupan di bandar serba lengkap itu.

Tambah menyayat hati, selepas ditinggalkan tanpa wang, pekerjaan yang dijanjikan dan rumah baharu, orang Chagos terpaksa berdikari hidup dalam buangan di tanah asing. Selepas tiga dekad, tiada siapa mengetahui kisah kesengsaraan orang Chagos sehingga seorang penduduk asalnya, Olivier Bancoult, presiden bagi Persatuan Pelarian Chagos mendakwa kerajaan Britain di mahkamah.

Amarah Bancoult tidak terbendung setiap kali mengenang penderitaan yang dilalui bangsanya. Tiga abang Bancoult mati sebagai pemabuk akibat berputus asa dengan kesempitan hidup kritikal manakala adik perempuannya membunuh diri kerana terlalu merindui Diego Garcia.

"Ia menyiat-nyiat perasaan saya dan sebab itu saya tidak akan berputus asa. Semua ini terjadi kerana AS dan British membuat hidup kami merana," luah Bancoult menerusi laporan rangkaian televisyen dan radio Amerika Syarikat (AS), CBS News pada Jun 2003.















 PENDUDUK asal pulau ini menjalani kehidupan berasaskan sistem sara hidup menerusi pertanian dan perikanan.   

Kontroversi Hak UntukPulang

Kontroversi membabitkan hak untuk pulang penduduk asal Diego Garcia dengan kerajaan Britain dan AS mendapat perhatian dunia. Namun ia tidak diperjuangkan secara besar-besaran ekoran bilangan kecil rakyatnya yang kini meningkat kepada 5,000 orang.

Mengupas punca perpindahan paksaan itu, penulis buku Island of Shame: The Secret History of The U.S. Military on Diego Garcia, David Vine seperti yang dipetik daripada Global Research pada tahun 2009 mendedahkan, orang Chagos dipindahkan kerana populasi mereka yang kecil dan bukan tergolong dalam orang kulit putih.

Pihak AS juga cuba menyebarkan cerita palsu dengan mengatakan orang Chagos hanyalah pekerja kontrak sementara yang mendiami Diego Garcia untuk jangka masa singkat. Sementelah, mereka telah hidup di pulau itu sejak Revolusi Amerika iaitu hampir 200 tahun.

Jelas Vine yang juga profesor antropologi di Universiti Amerika, Washington DC, orang Chagos diimport dari Afrika, India dan sekitar Kepulauan Melayu bagi bekerja di ladang kelapa dan kopra (kelapa kering) di pulau itu.

Diego Garcia yang merupakan salah satu daripada 52 pulau dalam Kepulauan Chagos pada asalnya bukanlah penempatan manusia. Ia ditemui pelayar Portugis, Vasco de Gama sekitar 1500-an tetapi tidak diiktiraf di dalam peta dunia.

Diego Garcia  Dijajah

Pada abad ke-18 (1700-1800), Perancis meletakkan Diego Garcia di bawah jajahan Mauritius. Hamba-hamba yang dibawa masuk ke pulau itu untuk sektor agrikultur kemudiannya menjadi majoriti penduduk dan merupakan nenek moyang keturunan Chagos hari ini.


British kemudian menawan Mauritius ketika Perang Napolean dan mendapat milikan ke atas Diego Garcia menerusi Perjanjian Paris. Tidak lama kemudian, pada tahun 1883, sistem penghambaan dihapuskan dalam sistem empayar British membolehkan orang Chagos membina peradaban sendiri.

Sehingga tahun 1971, pendapatan utama penduduk pulau itu diperoleh hasil perdagangan minyak kelapa. Ia merupakan sektor perladangan yang menguntungkan kerana minyak kelapa itu dijadikan minyak mesin yang berkualiti dan digunakan dalam lampu-lampu di Eropah.

Setahun selepas penubuhan Jajahan Lautan Hindi British (BIOT) pada tahun 1965, satu perjanjian rasmi telah ditandatangani antara United Kingdom (UK) dan AS bagi menjadikan Diego Garcia sebagai pangkalan tentera bersama.

Bagi menguatkuasakan perjanjian itu, Britain memisahkan Kepulauan Chagos daripada jajahan Mauritius, biarpun tindakan mereka menyalahi undang-undang penyahjajahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berdasarkan perjanjian itu, Diego Garcia dipajak kepada AS sebagai pertukaran pemansuhan hutang membeli peralatan ketenteraan bernilai AS$14 juta (RM45 juta). Laman web Infoplease menyatakan, Diego Garcia terletak di luar rangkaian siklon (angin puting beliung) menjadikan ia pangkalan tentera efektif ketika Perang Dingin dan bagi memerhati pergerakan Kesatuan Soviet. Fungsinya sebagai pangkalan hadapan juga diiktiraf ketika Perang Teluk 1991.


 LAPANGAN terbang Diego Garcia memainkan peranan penting ketika serangan ke atas Iraq dan Afghanistan.
Diego Garcia International Airport

"Menerusi Diego Garcia, AS boleh meluaskan kuasanya di sepanjang Asia Barat, Afrika Timur, India, Australia dan Indonesia," jelas Vine yang menyatakan AS kini memiliki kira-kira 1,000 buah pangkalan termasuk 287 di Jerman, 130 di Jepun dan 57 di Itali.

Diego Garcia juga dilengkapi pesawat pengebom terbesar AS termasuk Air Force B-52, B-1B dan B-2. Buktinya pada 17 Disember 1998, hampir 100 peluru berpandu kruis jarak jauh dilancarkan ke Iraq di bawah Operasi Desert Fox.

Pada 7 Oktober 2001 pula, AS sekali lagi menggunakan Diego Garcia sebagai pelancar pesawat pengebom B-52 dan B-2 bagi menyerang Afghanistan. Biarpun terletak lebih 4,828km dari selatan Iraq, ia tidak mengundang sebarang masalah logistik kepada AS. Malah Tentera Udara AS pernah mendedahkan bahawa B-52 mereka boleh menjangkau jarak melebihi 14,162km.

Seperti yang dinyatakan pada laman web rasmi Fasiliti Sokongan Tentera Laut Diego Garcia, kedudukan terpencil pulau itu membolehkan ia menjadi hab kunci bagi mengesan satelit dan bertindak sebagai salah satu daripada lima stesen pengawasan Penentu Kedudukan Global (GPS). Ia turut dilengkapi sistem Pengawasan Angkasa Optikal Elektro Darat bagi mengesan objek di ruang udara.

Diego Garcia US Army Base [2]
Pangkalan tentera bersama Amerika Syarikat dan Britain
bagi meluaskan dominasi di Asia Barat.

Dokumen rahsia 

Berbalik kepada tuntutan hak kembali ke Diego Garcia oleh orang Chagos, pada tahun 2000, Bancoult bersama peguamnya, Richard Gifford berjaya menemui dokumen-dokumen rahsia yang telah diubah status berhubung penjelasan perjanjian antara AS dan Britain berkenaan pembinaan pangkalan tentera Diego Garcia.

Pendedahan daripada pihak Bancoult membawa kejayaan bermakna. Mahkamah Tinggi Britain memutuskan bahawa memindahkan penduduk asal Diego Garcia sebagai satu kegiatan haram.

"Orang Chagos tidak pernah menolak pangkalan AS di Diego Garcia tetapi mereka berkecil hati kerana dinafikan peluang pekerjaan di sana," ujar Gifford.

Ranap impian penduduk asal Diego Garcia. 

Bagi mengekang kemaraan orang Chagos, kerajaan Britain mengeluarkan Titah Berkenan pada tahun 2004 bagi mengharamkan penduduk asal untuk kembali. Prerogatif diraja tradisional itu membolehkan Britain menolak keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 2000.

Namun pada Mei 2006, Mahkamah Tinggi di London memutuskan bahawa orang Chagos mungkin boleh pulang ke pulau lain di dalam Kepulauan Chagos dan menyifatkan tindakan kerajaan Britain sebagai menyalahi undang-undang dan melanggar standard moral.

Menurut laporan Huffington Post, meskipun tiga mahkamah rendah di Britain berpihak kepada orang Chagos, keputusan Mahkamah Tinggi dengan margin 3-2 berpihak kepada kerajaan Britain meranapkan impian penduduk asal Diego Garcia. Tahun lalu, Mahkamah Hak Kemanusiaan Eropah juga menolak rayuan akhir orang Chagos.

"Ia adalah pangkalan penting, saya setuju tetapi pada masa yang sama, mereka perlu sedar bahawa manusia juga penting," luah Alexis. (IH/Pelbagai Sumber))

No comments:

Post a Comment