▼
Tuesday, April 15, 2014
Balu Pengasas Al-Arqam Mula Jalani Program Pemulihan Khas.
Hatijah Aam, balu kepada pengasas kumpulan Al-Arqam yang diharamkan mengikuti program pemulihan khas selama 500 jam bermula semalam di Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Jelebu, Negeri Sembilan, lapor akhbar Sinar Harian.
Hatijah atau dikenali sebagai Ummu Jah bersama 18 pengikut Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) akan mengikuti program berkenaan yang ditetapkan untuk dua fasa. Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Ahmad Zaharin Mohd Saad, berkata kepada Sinar Harian, program itu adalah susulan daripada keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak pada 7 November lalu terhadap Hatijah dan pengikutnya.
Pada 13 Mei, 2013, Hatijah ditahan bersama-sama sembilan pengikutnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekembalinya dari Arab Saudi kerana cuba menghidupkan semula ajaran Al-Arqam. Pada November tahun lalu, Hatijah bersama 17 pengikutnya mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Selangor kerana melanggar arahan mufti yang mengharamkan ajaran kumpulan itu.
Hakim Syarie Kamarulzaman Ali kemudian melepaskan mereka dengan bon berkelakuan baik selama setahun. Ahmad Zaharin berkata, program pemulihan akidah itu turut dihadiri beberapa ahli GISB secara sukarela dan ia membabitkan 50 modul yang disusun oleh Jais bertujuan mengembalikan mereka ke ajaran Islam Sunal Al Wal-Jamaah.
Sinar Harian melaporkan, program itu akan diadakan hingga 27 April ini bagi fasa pertama, manakala fasa kedua pada 22 hingga 27 September depan membabitkan 30 penceramah dan 15 fasilitator yang ditugaskan membimbing peserta.
“Saya amat berharap peserta dapat mengikuti kursus ini dengan hati terbuka. Buatlah keputusan terbaik untuk kembali ke landasan kehidupan bersyariat sebenar tanpa pengaruh mana-mana individu atau kumpulan,” kata Ahmad Zaharin kepada Sinar Harian.
Selain itu, katanya, Hatijah dan bekas pengikut GISB perlu bersedia berubah dengan menghantar anak mereka ke sekolah berdaftar dan pendaftaran pernikahan.
Pada masa sama, Ahmad Zaharin berkata, Jais masih menerima laporan dan bahan bukti gerakan GISB.
Pada November, 2013, Hatijah mengetuai 300 pengikut kumpulan itu melafazkan taubat kerana melanggar arahan mufti yang mengharamkan ajaran kumpulan yang diasaskan Ashaari Muhammad itu dalam satu majlis anjuran Jais.
Terdahulu, pada 19 Ogos tahun yang sama, bekas pekerja GISB membuat laporan polis berhubung salah laku dan penyelewengan Hatijah dalam pengagihan dana rumah amal anak yatim kelolaan syarikat berkenaan.
Hatijah kemudiannya ditahan reman selama empat hari ketika itu bagi membantu siasatan di bawah Akta Anti Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan berkaitan kes penyelewengan dana rumah amal anak yatim dan dibebaskan dengan jaminan polis bernilai RM5,000 dengan seorang penjamin. – 15 April, 2014. (TMI)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Rasanya 'Raja Bomoh' yang buat hal dalam kes MH370 lalu itu agak lebih layak masuk ke di Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ini.
No comments:
Post a Comment