Peserta demonstrasi memegang plakad ketika melakukan
flash mob membantah Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) di luar
pusat beli-belah di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insider oleh
Najjua Zulkefli, 26 April, 2014.
Pesawat Air Force One yang membawa Obama mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang pada kira-kira jam 4.50 petang selepas enam jam penerbangan dari Korea Selatan, disifatkan beliau sebagai lawatan bersejarah ke Malaysia.
Lawatan tiga hari ke negara Asia Tenggara ini yang mempunyai kira-kira 30 juta penduduk adalah sebahagian daripada lawatan Obama ke empat negara di Asia, julung kali oleh presiden AS yang memegang jawatan dalam tempoh 48 tahun selepas lawatan Presiden Lyndon B Johnson pada 1966.
Memakai sut berwarna hitam, Obama muncul daripada Boeing 747-200B - yang dilengkapi kemudahan dan merupakan pejabat presiden di udara yang juga pesawat paling dikenali di dunia - dengan disambut mesra oleh pegawai kanan kerajaan Malaysia.
Hadir menyambut beliau dengan ucapan Selamat Datang ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Duta Malaysia ke AS, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Duta Khas Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.
Sebelum ke Malaysia, presiden ke-44 AS itu yang mula memegang tampuk pemerintahan pada 2009 dan dipilih semula untuk penggal kedua pada 2012, melawat Jepun dan Korea Selatan. Selepas Malaysia, beliau akan meneruskan lawatan ke Filipina.
Kawalan keselamatan di pangkalan udara itu yang terletak di pinggir ibu negara Malaysia Kuala Lumpur amat ketat dengan beratus-ratus anggota keselamatan ditugaskan untuk berkawal.
Obama beredar dari pangkalan udara itu untuk ke bangunan Parlimen di Kuala Lumpur bagi upacara sambutan rasmi dengan menaiki limousin presiden beliau.
Semalam, Anifah berkata, lawatan presiden AS itu menandakan bermulanya peningkatan hubungan dua hala Malaysia-AS kepada sebuah perkongsian komprehensif.
Beliau berkata, hubungan baik yang terjalin antara Obama dan Najib akan memastikan perbincangan berkaitan ekonomi, keselamatan dan hubungan rakyat kepada rakyat adalah terbuka, konstruktif dan produktif.
Menurut pegawai, usaha untuk mengesan MH370 yang sedang giat dijalankan di selatan Lautan Hindi mungkin akan disentuh dalam perbincangan di Putrajaya.
Kenderaan Dalam Air Automatik Bluefin-21 yang dilengkapi alat sonar telah menjalankan misi mencari di kawasan dikenal pasti di Lautan Hindi sejak 14 April dengan harapan untuk mengesan sebarang serpihan pesawat yang hilang itu.
Penerbangan MH370 bersama-sama 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Malam ini, presiden dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan menghadiri jamuan negara di Istana Negara.
Esok,Obama akan mengadakan perbincangan dengan Najib di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di Putrajaya sebelum ke Cyberjaya yang terletak berdekatan untuk majlis pelancaran Malaysian Global Innovation and Creative Centre (MaGIC) yang akan menyediakan platform untuk usahawan melebarkan sayap mereka.
Aturcara lawatan Obama termasuk sesi perjumpaan tidak formal dengan pemimpin belia dari seluruh Asia Tenggara dan melawat Masjid Negara. – Bernama, 26 April, 2014.
No comments:
Post a Comment