Wednesday, April 23, 2014

Bekas Wakil Rakyat PAS K'tan Tubuh Wira



KOTA BHARU: Seramai 52 bekas wakil rakyat PAS Kelantan termasuk yang pernah bertanding pada pilihan raya umum pertama selepas merdeka iaitu pada 1959 kini bernaung di bawah sebuah persatuan.

Badan bukan kerajaan tersebut dikenali Persatuan Bekas Wakil Rakyat PAS (Wira) diketuai bekas anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Omar Mohamad.

Anggota parlimen Rantau Panjang, Abdul Fatah Haron sebagai timbalan dan naib-naib pengerusi, bekas Adun Pasir Mas, Hashim Omar, bekas Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat dan bekas senator, Hunaizah Mohd Nor.

Manakala bekas anggota parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah sebagai setiausaha, bekas Adun Wakaf Bharu, Ramli Abu Bakar (bendahari) dan bekas Adun Melor, Wan Ismail Wa Jusoh (ketua penerangan).

Wan Abdul Rahim berkata, keahlian persatuan terbuka kepada semua bekas wakil rakyat yang pernah bertanding di atas tiket PAS biar pun sekarang mereka menyertai parti lain.

“Malah kita merancang memperluaskan sebagai ahli bersekutu termasuk isteri-isteri bekas wakil rakyat yang telah meninggal dunia dan anak mereka.
“Kita juga akan turut libatkan bekas-bekas calon dan wakil-wakil calon PAS untuk menyertai Wira sama ada sebagai ahli bersekutu atau tidak.
“Wira akan didaftarkan di bawah Pendaftaran Pertubuhan sebagai sebuah NGO yang sah. Tujuan utamanya bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim,” katanya pada perlancaran persatuan itu di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan di sini, semalam.

Ia disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Hadir sama Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kob dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Zulkifli Mamat. Menteri Besar pula berharap Wira dapat membantu wakil-wakil rakyat yang ada sekarang memandangkan mereka mempunyai banyak pengalaman dalam perjuangan.

“Pemimpin dahulu terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan dan rintangan termasuk pernah dihalang batang kayu dan dan dilempar telor ketika hendak pergi berceramah.
“Pengalaman itu wajar dikongsi bersama untuk membolehkan wakil-wakil rakyat yang ada sekarang berkhidmat lebih baik kepada rakyat,” ujarnya. (HD)

No comments:

Post a Comment