Thursday, April 17, 2014

Hudud: Hu Pang Chaw Bidas Nik Amar (TMB K'tan)?



Himpunan penyokong PAS tidak akan perjelas hudud kepada bukan Islam

Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPPP) sama sekali tidak akan memainkan peranan untuk memperjelaskan kepada bukan Islam terutama di Kelantan berkaitan Hukum Hudud, kata Ketuanya Hu Pang Chaw (gambar).

Beliau berkata penerangan itu sewajarnya diserahkan kepada pucuk pimpinan PAS terutama melalui anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

"DHPPP tidak relevan untuk memberikan penerangan Hukum Hudud itu kepada bukan Islam... seperti di Kelantan rakyat telah memilih PAS dan bagi DHPPP adalah wajar pucuk pimpinan dan wakil rakyat yang memainkan peranan itu," katanya ketika dihubungi di Kota Baharu hari ini.

Semalam Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dipetik sebagai berkata DHPPP perlu membantu PAS untuk memberikan penerangan kepada bukan Islam terutama di Kelantan sebelum pelaksanaan hukuman berkenaan.

Sebelum ini Mohd Amar berkata kerajaan PAS Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu akan membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian (Hukum Hudud) ke persidangan Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember tahun ini.

Mengulas isu itu lagi, Hu berkata ini bukan soal membantu atau tidak tetapi adalah lebih baik penerangan itu diberikan oleh mereka yang arif mengenai hukum berkenaan.

"DHPPP mempunyai kira-kira 20,000 anggota manakala anggota PAS pula ada kira-kira satu juta...mana lebih baik, satu juta ini yang memberikan penerangan atau 20,000 ahli, dan sudah tentulah yang lebih besar ahlinya yang perlu membuat penerangan ini," katanya.

Beliau berkata apa pun PAS perlu terlebih dahulu menyelesaikan isu mendapatkan sokongan anggota Parlimen di Dewan Rakyat sebelum melangkah lebih jauh melaksanakan hukuman berkenaan.

"Tetapi ingat, sokongan rakyat adalah penting. Jika rakyat telah memilih pemimpin pada pilihan raya lalu dan sokongan itulah yang kita harapkan juga pada pilihan raya yang akan datang," katanya. – Bernama, 16 April, 2014.

1 comment:

Anonymous said...

Berdakwah adalah tanggung-jawab orang Islam bukan yg bukan Islam.Kalau pemimpin-pemimpin Islam sendiri tak mampu untuk berdakwah,ini satu masaalah besar.DiMalaysia,bukan Islam kurang minat nak dengar dakwah pemimpin-pemimpin Islam sebab pemimpin Islam tak menunjukkan perangai dan budi pekerti Islam - cakap tak serupa bikin.Ini masaalahnya.PAS memerintah Kelantan hampir 25 tahun,cuba terangkan berapa ramai yg bukan Islam dah memeluk Islam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails