Wednesday, April 16, 2014

Hudud: Kelantan Sedia Beri Taklimat Kepada Kabinet
















KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedia memberi taklimat mengenai pelaksanaan hudud kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) termasuk menteri kabinet bagi membolehkan mereka mendapat gambaran lebih jelas.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, taklimat khas juga akan diberi kepada pemimpin PAS peringkat pusat yang tinggal di luar Kelantan.

“Apabila selesai di peringkat parti kita akan perluaskan taklimat kepada kompenan Pakatan Rakyat membabitkan PKR dan DAP.

“PAS Kelantan bukan hendak memaksa mereka, penjelasan diberikan bagi memberi alasan mengapa hudud perlu dilaksanakan,” ujarnya selepas perjumpaan dengan NGO di Dewan Teratai di sini, semalam.

Program tersebut dirasmikan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Hadir sama sama anggota Exco, Dr Ramli Mamat dan wakil-wakil NGO dari seluruh Kelantan.

Menurut Mohd Amar, PAS pusat bersetuju terhadap usaha yang dilakukan itu dan menyokong langkah kerajaan Kelantan.

Katanya juga penerangan mengenai perkembangan terkini Enakmen Kanun Jenayah Syariah II turut akan diadakan membabitkan masyarakat bukan Islam.

“Taklimat akan dibuat kepada mereka sama ada yang tinggal di Kelantan dan luar untuk menjelaskan manfaat hukum hudud dan kesannya terhadap mereka.

“Program penerangan dibuat semula bukan bermakna kita menunggu 20 tahun baru hendak jelaskan kepada rakyat. Sebaliknya kita mahu menjelaskan perkembangan terkini,” katanya.

Kata beliau majoriti masyarakat bukan Islam di Kelantan sudah memahami kerana perundangan tersebut tidak melibatkan mereka. (HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails