Thursday, April 17, 2014

Hudud: Ya, Ada Mazhab Baru Tafsir Perlembagaan Negara Ini..



Oleh: MOHAMED HANIPA MAIDIN 

Hudud: Perlukah dipinda perlembagaan?

SEMESA rayuan kes Lina Joy, peguam Lina Joy memberitahu mahkamah bahawa wujudnya satu aliran atau mazhab baru dalam menafsir perlembagaan negara ini iaitu mazhab Dr Aziz Bari.

Walau apa pun niat peguam Lina Joy, hakikatnya kata kata beliau tersebut adalah satu pengiktirafan kepada hasil usaha Dr Aziz Bari.

Bagi saya kejayaan besar Dr Aziz adalah ia membawa kita melihat Perlembagaan dari dimensi yang baru. Jika dulu ramai dari kita yang mungkin membuat tanggapan bahawa Perlembagaan negara ini adalah sekular dan penghalang besar kepada perlaksanaan Islam, Dr Aziz pula melihat sebaliknya.

Bagaimanakah Perlembagaan dikatakan sekular jika Islam, dan bukan agama agama lain, satu satunya agama yang dinyatakan secara khusus dalam Perlembagaan. Artikel 3 mengisytiharkan Islam sebagai agama Persekutuan. Jadual Kesembilan Perlembagaan menyatakan tentang kuasa Kerajaan Negeri untuk mengkanunkan undang undang Islam. Artikel 11 (4) pula melarang penyebaran agama atau doktrin bukan Islam kepada umat Islam. Ini antara lain contoh contoh yang menunjukkan Islam mempunyai kedudukan unik dan dominan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Atas dasar itu perlukah perlembagaan dipinda jika Kelantan ingin melaksanakan hudud? Ya, benar ada dua pendapat.
  • Satu pendapat kata perlu pinda Perlembagaan 
  • dan pendapat yang lain kata tidak perlu. 
Saya bermazhab dengan pandangan kedua.

Mereka yang menyatakan hudud melanggar Perlembagaan dan perlu dipinda Perlembagaan jika hudud ingin dilaksanakan berpegang kepada beberapa hujah. Antaranya hujah kes Che Omar bin Che Soh v Pendakwa Raya (1988) 2 MLJ 55 di mana Mahkamah Agung menyatakan bahawa tafsiran Islam dalam Artikel 3 (1) Perlembagaan hanya bersifat seremonial (ceremony) semata mata berdasarkan niat penggubal Perlembagaan dan bukannya Islam sebagai al-deen.

Justeru itu hudud yang termasuk dalam sistem jenayah Islam, menurut hujah ini, melangkaui makna Islam yang diniatkan oleh penggubal Perlembagaan yang hanya bersifat ritual dan serimonial. Justeru itu jika hudud dilaksanakan ia akan melanggar Artikel 4 (1) Perlembagaan yang mana Perlembagaan adalah undang undang tertinggi negara ini dan mana mana undang undang yang bercanggah dengan mana mana peruntukkan Perlembagaan adalah dikira tidak sah dan terbatal.

Bagi saya hujah yang menggunakan keputusan Mahkamah Agung itu yang memberikan tafsiran sempit makna Islam dalam Perlembagaan adalah hujah yang rapuh dan boleh disangkal .

Pertamanya mengenai prinsip tafsiran Perlembagan itu sendiri. Perlembagaan bukan undang-undang biasa seperti Akta Parlimen atau Enakmen Negeri. Perlembagaan adalah sui juris iaitu ia adalah sebuah dokumen yang berdiri sendiri. Telah diputuskan oleh banyak keputusan mahkamah di negara ini prinsip berikut iaitu apa apa keputusan berkaitan tafsiran Perlembagaan oleh mana mana mahkamah hatta mahkamah yang paling tinggi dalam negara ini, tafsiran itu tidak akan mengikat mana mana mahkamah lain di negara ini.

Ini bermakna jika sekalipun Mahkamah Agung pernah menafsirkan bahawa Islam dalam Artikel 3 Perlembagaan bukan bermaksud al-deen, keputusan itu tidak akan mengikat mana mana mahkamah di negara ini selepas keputusan itu dibuat.  Ertinya jika ada Mahkamah selepas ini yang tidak mahu mengikut tafsiran Mahkamah Agung tersebut, ianya tidak salah kerana prinsip stare decisis (keputusan Mahkamah mengikat) tidak terpakai dalam menafsir Perlembagaan.

Keduanya tafsiran Mahkamah Agung dalam kes Che Omar Che Soh berkaitan makna Islam dalam Artikel 3 adalah tafsiran yang salah. Dalam artikel 160 Perlembagaan yang menyentuh tentang tafsiran, tidak ada tafsiran mengenai perkataan Islam. Begitu juga tidak ada tafsiran mengenai perkataan Islam dalam Akta Tafsiran 1948. Dengan ketiadaan tafsiran makna Islam, maka adalah pelik Mahkamah Agung tiba tiba menafsirkan perkataan Islam dengan sewenang wenang dan arbitrari sebagai bermaksud adat istiadat atau seremonial semata mata dan bukan sebagai al-deen.

Saya ingin katakan memandangkan Islam tidak ditafsirkan dalam Perlembagaan atau Akta Tafsiran maka untuk menafsirkan Islam mestilah Mahkamah melihat dari khazanah Islam iaitu kitab kitab muktabar yang ditulis oleh para ulama mengenai makna sebenar Islam. Tafsiran Islam yang diberikan oleh Mahkamah Agung adalah tafsiran yang tidak betul kepada perkataan Islam itu sendiri maka bagaimanakah tafsiran yang salah itu boleh dan wajar dipertahankan?

Jika mahkamah menafsirkan makna Islam dalam Perlembagaan dengan tafsiran yang betul maka bukan sahaja kita tidak perlu meminda Perlembagaan bagi dilaksanakan di Kelantan malahan Akta Bidang Kuasa Mahkamah Syariah 1965 (juga digelar Akta 356) yang menghadkan bidangkuasa Mahkamah Syariah setakat boleh menjatuhkan hukuman 356 iaitu 3 tahun penjara, 5 ribu ringgit denda dan 6 sebatan adalah juga tidak sah kerana menyalahi makna Islam dalam Perlembagaan. Jika Islam dalam Perlembagaan ditafsir sebagai al-deen maka al-deen merangkumi juga sistem jenayah Islam iaitu hudud, qisas dan taazir yang mempunyai asasnya dalam Al-Quran dan Al-Sunnah.

Justeru itu bagi saya kesilapan dalam memberikan tafsiran Islam dalam perlembagaan adalah penghalang kepada perlaksanaan hudud bukan Perlembagaan itu sendiri. Jika tafsiran Islam dalam Perlembagaan diberikan tafsiran yang betul dan tepat maka Perlembagaan tidak perlu dipinda bagi perlaksanaan hudud.

Akta 356 sebenarnya diwujudkan kerana wujudnya kesilapan dalam menafsirkan makna Islam dalam Perlembagaan. Jika Islam diberi tafsiran yang betul maka bukan hudud yang bercanggah dengan Akta 356 atau Perlembagaan sebaliknya Akta 356 itu yang melanggar Perlembagaan.

Keempat
jika kita lihat Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan iaitu di perenggan 1 senarai negeri dinyatakan secara jelas antara lain bahawa termasuk dalam senarai negeri itu adalah hukum syara' ( Islamic law ) dan kemudiannya diperincikan antara lain undang undang kekeluargaan seperti perkahwinan, penceraian, hadhanah, wasiat, harta pusaka dan lain lain.

Mereka yang berpegang dengan tafsiran sempit menyatakan meskipun disebut dalam senarai itu adalah hukum syara' perincian selepas perkataan hukum syara' itu menunjukkan bahawa hukum syara' itu hanya merangkumi undang undang kekeluargaan dan harta benda sahaja dan tidak termasuk undang undang jenayah iaitu hudud atau qisas. Tafsiran seperti ini dalam undang undang ini dipanggil ejusdem generis (menghadkan atau mengkhususkan benda yang umum).

Saya katakan perkataan hukum syara' dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan adalah kalimah yang umum tetapi jelas dan perkataan itu tidak  boleh dihadkan maka prinsip esjudem generis tidak terpakai. Ini kerana jika dilihat kepada Artikel 74 (4) Perlembagaan jelas dinyatakan  bahawa keluasan ungkapan am di dalam Jadual Kesembilan tidak boleh dihadkan oleh mana mana ungkapan khusus. Oleh itu jika digunakan ungkapan hukum syara' yang bersifat umum dalam Jadual Kesembilan ia tidak boleh dihadkan kepada undang undang kekeluargaan semata-mata.

Oleh itu undang undang Islam atau hukum syara' dalam Jadual Kesembilan adalah merangkumi hudud dan jika hudud dilaksanakan di Kelantan ia adalah termasuk di dalam senarai negeri yang negeri Kelantan mempunyai bidang kuasa untuk gubal dan laksanakan dan ia mematuhi Perlembagaan. (HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails