Wednesday, April 30, 2014

Hudud: YADIM Ingin Berada Dalam J/Kuasa Teknikal. Sambut Baik?






Yadim setuju berada dalam jawatankuasa teknikal hudud jika dipelawa

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bersetuju berada dalam jawatankuasa teknikal hudud peringkat kebangsaan jika ia dibentuk dan Yadim dipelawa untuk menganggotainya.

Yang Dipertua Yadim Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (gambar) berkata perbincangan mengenai hukum hudud yang mahu dilaksanakan PAS Kelantan itu perlu dihalusi melalui jawatankuasa berkenaan dan PAS perlu melihat objektif penubuhannya tanpa sebarang prejudis.

"Yadim, kalau dipanggil, kami akan duduk bersama (jawatankuasa berkenaan). Ini juga peluang terbaik buat dua parti terbesar berada bersama berbincang berkenaan masa depan dan hala tuju Islam di negara ini.

"Jawatankuasa ini bukan nanti kerana asasnya adalah politik tetapi kita nak buat kerana benar-benar mahu melaksanakan hukum Allah itu sendiri. Kalau niat kita betul, Insya-Allah akan dipermudahkan. Kalau salah, akan menjadi fitnah kepada negara dan Islam," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan bekas menteri besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Institut Pemikiran Tok Guru di Kota Darul Naim di Kota Baharu hari ini.

Ahad lalu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan penubuhan jawatankuasa berkenaan yang disertai oleh pihak yang arif mengenai hukum hudud termasuk pakar-pakar hukum agama dari luar negara.

Muhyiddin berkata hukum hudud itu perlu diperbincangkan secara halus kerana masih ramai yang tidak memahaminya. Sebelum ini kerajaan PAS Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu dilaporkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian (hukum hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember tahun ini.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz ketika ditemui selepas itu, melahirkan rasa gembiranya dengan cadangan Muhyiddin itu dan berharap ia mampu direalisasikan segera. Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pihak tertentu untuk melaksanakan jawatankuasa teknikal itu dan enggan campur tangan mengenainya. – Bernama, 29 April, 2014.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails