KUALA LUMPUR: Ikhwanul Muslimin Mesir menyifatkan
PAS sebagai sahabat sejati di waktu suka dan menghargai sokongan dan
dokongan tidak berbelah bahagi PAS kepada Ikhwan selama ini, ujar
Timbalan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin Mesir, Sheikh Jumaah Amin.
Dalam satu pertemuan dengan Pengerusi lajnah Antarabangsa PAS Pusat,
Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, beliau mengharapkan ahli PAS mendoakan
kesabaran kepada anggota Ikhwanul Muslimin yang sedang menghadapi ujian.
"Kepimpinan PAS di bawah Ustaz Abdul Hadi dan Ustaz Nik Abdul Aziz
ialah sahabat sejati kami di waktu senang dan susah. Kami amat
menghargai sokongan dan dokongan yang tidak berbelah-bahagi dari PAS
kepada Ikhwan.
"Doakan kesabaran kami dalam menghadapi ujian ini," ujar beliau.
Menurut Sheikh Jumaah, ramai kalangan pemimpin Ikhwan yang dibunuh
dan gugur di jalan Allah dan ribuan kini ditahan di penjara seluruh
Mesir sebaik selepas rampasan kuasa (kudeta) tentera yang mengguling
presidan Mohamad Morsi.
Kudeta yang didokong Barat dan beberapa negara Teluk itu, jelasnya
telah menumbangkan kerajaan demokratik pimpinan Morsi yang dipilih
rakyat dalam proses pilihan raya yang telus dan adil.
"Kami sudah biasa di penjara. Malah saya sendiri sentiasa keluar
masuk penjara sejak zaman pemerintahan bekas presiden Sadat dan Mubarak
lagi. Hanya kesabaran dan keyakinan kepada janji-janji Allah SWT menjadi
senjata kami," tegas beliau.
Sheikh
Jumaah menambah, ketidakadilan, penindasan dan dendam kesumat pihak
junta hanya akan menguatkan keazaman di hati anggota Ikhwan dan
menggandakan tekad mereka untuk menewaskan junta tentera pengkhianat dan
mengembalikan kebebasan, maruah dan kedaulatan rakyat.
"Kami yakin dgn janji-janji Allah SWT dan detik-detik kemenangan akan
pasti datang dengan kesabaran dalam ujian yang amat mencabar ini,"
ujarnya.
Sheikh Jumaah turut mengirimkan salam buat seluruh pejuang kebenaran dan rakyat Malaysia.
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-57: Ikhwan Muslimin & PAS
No comments:
Post a Comment