Kapal Jepun Disamun Lelaki Bersenjata, Culik Kru Dekat Pulau Ketam
PELABUHAN KLANG, 23 April (Bernama) -- Lima lelaki, dua bersenjatakan
pistol seorang lagi parang, menyamun sebuah kapal Jepun dengan
memindahkan dua juta liter minyak diesel ke dalam dua buah kapal tanker
berhampiran Pulau Ketam awal pagi Selasa.
Tiga kru kapal dipercayai diculik.
Pegawai Pemerintah Polis Marin Pelabuhan Klang, DSP Norzaid Muhammad
Said berkata kejadian berlaku pada pukul 1 pagi pada jarak 16 batu
nautika dari Pulau Ketam di sini.
Kapal bermuatan lima juta liter itu dalam perjalanan ke Myanmar dan berlepas dari Singapura pada 21 April.
Beliau berkata lima lelaki terbabit bertindak mengikat 18 kru termasuk kapten kapal sebelum memindahkan diesel itu.
"Difahamkan proses pemindahan mengambil masa antara tujuh hingga lapan
jam dan selepas itu kesemua suspek meninggalkan kapal berkenaan,"
katanya ketika dihubungi di sini.
Norzaid berkata selepas berjaya melepaskan diri, kapten kapal kemudian
menghubungi pembekal minyak diesel itu di Singapura, bagi memaklumkan
kejadian berkenaan.
Katanya pembekal itu membuat laporan di Balai Polis di Johor Baharu
sebelum pihak polis di situ memaklumkan kepada Polis Marin di Pelabuhan
Klang.
"Pihak kami kemudian dihantar ke lokasi kejadian dan menemui kapal Jepun
berkenaan di Pulau Angsa. Kapal itu dibawa pulang ke Pelabuhan Utara di
sini untuk siasatan lanjut," katanya.
Norzaid berkata kesemua kru kapal dan kapten tidak mengalami sebarang kecederaan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment