Friday, April 11, 2014

Keputusan Awal Pemilu Indo, PDI-P (Jokowi) Tiada Laluan Mudah..


SEORANG wanita membuang undi di Jakarta kelmarin. - AFP

JAKARTA - Pembangkang terbesar Indonesia, Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P) gagal menepati ramalan untuk mencatat kemenangan besar walaupun mendahului dalam keputusan awal pilihan raya (Pemilu) umum negara itu.

Prestasi lemah tersebut berlaku di sebalik populariti calonnya, Gabenor Jakarta, Joko Widodo yang menjadi pilihan utama untuk memenangi pilihan raya Presiden, Julai depan.
Keputusan awal Pemilu semalam menunjukkan PDI-P memperoleh hampir 20 peratus undi.
Beberapa penganalisis politik berkata, Joko atau lebih popular sebagai Jokowi di Indonesia, perlu mendahului dengan 27 peratus undi bagi memudahkan laluannya memenangi pilihan raya Presiden beberapa bulan lagi.

"PDI-P gagal menggunakan populariti Jokowi sepanjang kempen Pemilu kali ini," kata Pengarah Eksekutif Institut Pol-Tracking, Hanta Yuda.
"Parti itu tidak sepenuhnya mengeskploitasi populariti Jokowi semasa berkempen di seluruh Indonesia dan menerusi iklan televisyen selain gagal menangkis komen-komen negatif parti lawan," tambahnya.

Keputusan awal kiraan undi menunjukkan Parti Golkar berada di kedudukan kedua apabila memperoleh 15 peratus undi, diikuti oleh Parti Gerindra di tempat ketiga dengan 12 peratus undi.
GABENOR Jakarta, Joko Widodo (kiri) dan isterinya, Iriana Widodo (kanan) berjalan pulang ke kediaman mereka selepas membuang undi pada pilihan raya umum Indonesia di Jakarta kelmarin. - AFP 
Kedua-dua parti politik tersebut masing-masing mencalonkan ahli perniagaan, Aburizal Bakrie dan bekas jeneral, Prabowo Subianto untuk bertanding pada pilihan raya Presiden kali ini.

Sesebuah parti politik Indonesia perlu memenangi 20 peratus kerusi di Dewan Perwakilan atau 25 peratus undi keseluruhan Pemilu untuk mencalonkan wakil mereka pada pilihan raya Presiden.

Jika gagal, satu gabungan dengan sebuah atau lebih banyak parti politik perlu dibentuk bagi tujuan tersebut.

"Syukur kepada Tuhan, rakyat memilih PDI-P sebagai pemenang Pemilu," kata Jokowi.
"Saya fikir sukar untuk PDI-P bergerak sendiri. Kami perlu bekerjasama dengan parti politik yang sehaluan dan PDI-P terbuka untuk berbuat demikian," jelasnya.

Dalam pada itu, kira-kira 6,607 calon daripada 12 parti politik bertanding pada pilihan raya kali ini untuk merebut 560 kerusi Dewan Perwakilan.

Widodo yang merupakan seorang bekas pengusaha perabot merupakan muka baharu dalam senario politik Indonesia tetapi ramai penduduk menyokong gayanya yang sederhana, tidak sombong dan sanggup menziarahi dan bergaul dengan golongan miskin.

Keputusan rasmi Pemilu akan hanya diumumkan bulan depan tetapi pengiraan awal yang diumumkan beberapa organisasi kaji selidik dianggap boleh diguna pakai. Indonesia yang memiliki seramai 240 juta penduduk merupakan negara demokrasi ketiga terbesar di dunia selepas India dan Amerika Syarikat. Negara tersebut juga memiliki penduduk Islam paling ramai di dunia. - AP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails