JOM KREATIF
Terletak berhampiran Lebuh India, Jalan Power meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dengan urusan masing-masing, namun kelibat pelukis jalanan terkenal dunia Ernest Zacharevic lebih mencuri tumpuan.
Dinding kedai di sepanjang Jalan Power menjadi 'kanvas' lukisan tiga dimensi interaktif beliau. Terik matahari tidak menjadi halangan pelukis kelahiran Lithuania itu, di bawah khemah payung segiempat, dengan mula melakar di dinding kedai itu sejak 11 pagi.
Memilih Orang Utan atau nama saintifiknya 'Pongo pygmaeus', yang hanya boleh dijumpai dalam hutan tropika di Kepulauan Borneo (Sarawak dan Sabah) amnya dan khususnya di Sarawak, sebagai 'objek' karyanya.
Lukisan tiga dimensi interaktif pertama yang dihasilkan Zacharevic, 27, memaparkan lapan anak Orang Utan dalam kereta sorong, lukisan yang juga digabung dengan kereta sorong sebenar. Di dinding sama, lukisan kedua dihasilkan Zacharevic memaparkan seekor Orang Utan bergayut, dengan paip saliran air hujan yang terdapat di dinding berkenaan dijadikan sebagai 'dahan' untuk 'bergayut'.
Menurut jurucakap Spago Property Sdn Bhd (Spago), pihak yang bertanggungjawab membawa Zacharevic ke Kuching, pelukis jalanan itu akan berada di bandar raya ini selama seminggu.
"Selain kawasan di sekitar Tebingan Sungai Kuching, Zacharevic sudah dibawa ke lima lagi lokasi dinding yang dirasakan sesuai untuk dijadikan 'kanvas' lukisan jalanan," katanya.
Zarina Abidin, 20-an, yakin seni lukisan jalanan itu bakal memperkenalkan Sarawak, khususnya Kuching kepada pelancong.
"Mesti ramai orang yang akan mengambil gambar kenangan di dinding ini, saya yakin ini bakal menjadi tarikan terbaru kepada Kuching," katanya.
Alfred Lee, turut teruja dengan kehadiran Zacharevic dan lukisan jalanan yang bakal dihasilkan di bandar raya ini.
"Saya sudah ke Pulau Pinang dan sebagai kenangan bergambar dengan lukisan jalanan Zacharevic di sana, tidak sabar untuk jadikan lukisan di Kuching pula sebagai koleksi terbaru saya," katanya penuh ceria.
No comments:
Post a Comment