Saturday, April 19, 2014

Majlis Fatwa Perlu Perincikan Hukum R.I.P -Prof Madya Datuk Dr Asri

Profesor Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin meminta Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) memperincikan fatwanya berhubung ucapan Rest in Peace (R.I.P) kepada bukan Islam agar memberi pemahaman yang lebih jelas. – Gambar The Malaysian Insider, 19 April, 2014.  
Profesor Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin meminta Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) memperincikan fatwanya berhubung ucapan Rest in Peace (R.I.P) kepada bukan Islam agar memberi pemahaman yang lebih jelas. – Gambar The Malaysian Insider, 19 April, 2014

Profesor Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin meminta Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) memperincikan fatwanya berhubung ucapan Rest in Peace (R.I.P) kepada bukan Islam agar memberi pemahaman yang lebih jelas.

Bekas mufti Perlis itu berkata terdapat dua kategori yang perlu diperhalusi oleh MFK, iaitu sama ada mendiang dalam kategori faham tetapi menolak Islam secara terang-terangan atau kategori yang masih belum menerima dakwah Islam.

“Ada dua keadaan di mana fatwa tersebut perlu diperincikan. Satu keadaan apabila kita yakin bukan Islam itu menolak mesej Islam, iaitu menolak Islam sebagai agama. Dia tahu tentang Islam dan dia menolaknya. Persepsi Islam, RIP tidak patut dikatakan kepadanya.
“Kalau sekiranya dia seorang yang tidak tahu apa itu Islam atau tahu mengenai Islam tetapi tidak jelas, mungkin kerana persepsi orang Islam itu sendiri, sebagai Islam kita tidak katakan dia dihukum oleh Tuhan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

MFK dalam fatwanya mendakwa umat Islam tidak digalakkan untuk mengucap RIP kepada seseorang bukan Islam kerana ia berunsur keagamaan yang diambil daripada Kristian.
Katanya, umat Islam bagaimanapun dibolehkan untuk menyampaikan rasa simpati dan takziah mereka kepada keluarga penganut bukan Islam selagi ia tidak memberi implikasi keagamaan.

"Ia mengandaikan orang bukan Islam itu akan mendapat rahmat Tuhan seperti mana doa asal itu yang disebut dalam bahasa Latin.
Daripada sudut akidah Islam, seseorang yang mati dalam kekufuran tidak akan mendapat keampunan dan rahmat daripada Tuhan.
"Sekiranya ucapan diberikan dengan niat membenarkan kepercayaan sesuatu agama yang jelas bertentangan dengan Islam, maka ia adalah dilarang. Sekiranya ia diucap sekadar penghormatan secara umum, maka ia adalah harus," kata MFK.

Asri berkata di akhirat nanti, Allah hanya menilai akidah bagi golongan yang datang kepadanya dengan mesej Islam yang jelas dan sebenar. Katanya, seseorang itu hanya dapat digelar kafir sekiranya jelas mereka menolak mesej Islam yang benar dan jelas.

“Orang yang tidak tahu Islam sebenar, kita tidak boleh katakan dia ahli neraka kerana Tuhan menyatakan ‘Kami tidak akan mengazab sehingga Tuhan menghantar rasul’.
“Ertinya seseorang tidak akan menerima hukuman Tuhan di atas kesalahan akidahnya sehinggalah dia mendapat mesej Islam yang jelas. Apabila dia menolaknya baru dia akan menerima balasan di sisi Tuhan,” katanya.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia itu turut melihat bahawa RIP tidak seharusnya menjadi isu di kalangan umat Islam kerana tiada jaminan seseorang itu akan mendapat keamanan daripada Tuhan.

“Saya tidak katakan kita digalakkan ucap RIP. Itu tiada kepentingan. Apa yang boleh diucap adalah takziah kepada ahli keluarga.
“Orang bukan Islam hendak kata biarkan. Apabila kita ucapkan RIP macam mana kita yakin dia ini 'in peace'? Kita tidak tahu. Kita tidak payah kata. Tiada keperluan untuk itu,” katanya.

PAS berpandangan pemergian seorang negarawan seperti Karpal Singh selayaknya mendapat penghormatan dan pengiktirafan. Pengarah Pusat Kajian dan Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad berkata ini adalah masanya untuk menghormati Karpal dan bukan menghamburkan komen negatif kepada mendiang.

"Kita akan membangkitkan isu ini pada mesyuarat biro politik di Kuala Lumpur, dan kita akan tetapkan pendirian kita," katanya ketika ditemui pada majlis perhormatan mendiang Karpal di Pulau Pinang semalam.

Karpal meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya awal pagi semalam menerima banyak ucapan RIP daripada pengguna laman sosial. Kenderaan Toyota Alphard yang dinaikinya berlanggar dengan sebuah lori seberat lima tan di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung di KM306.1 Lebuhraya Utara-Selatan.

Karpal, 73, dan pembantunya Michael Cornelius, yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Pulau Pinang, mati di tempat kejadian. – 19 April, 2014. (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails