Friday, April 04, 2014

Mangsa Culik Sihat, Dipercayai Dibawa Ke Selatan Filipina.

 

Bahagian risikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sudah mengenal pasti lokasi dua wanita yang diculik dari Singamata Resort pada malam Rabu lalu.

Menurut Ketua Pengarah ESSCOM, Datuk Mohammad Mentek dua wanita tersebut - seorang pelancong rakyat China dan pekerja pusat peranginan tersebut - berada dalam keadaan sihat dan dipercayai telah dibawa ke Selatan Filipina.
          
"Salah seorang daripada kumpulan penculik itu dipercayai terlibat dengan kes penculikan di Pulau Pom-Pom, Semporna tahun lepas manakala selebihnya terlibat dengan insiden penculikan di Pulau Sipadan pada tahun 2000.
              
"Kumpulan penculikan untuk wang tebusan ini dipercayai aktif dan agresif di selatan Filipina," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
              
Mohammad berkata ESSCOM juga tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan orang tempatan berasal dari Filipina yang memberikan maklumat kepada anggota kumpulan penculik tersebut.
              
Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dipetik sebagai berkata seorang pelancong wanita rakyat China dan seorang pekerja resort rakyat Filipina diculik dari sebuah resort atas air, Singamata Adventures Reef and Resort, oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata, pada kira-kira 10.30 malam Rabu.
              
Wanita China, yang juga seorang pelajar, dikenali sebagai Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai manakala pekerja wanita Filipina berusia 40 tahun itu dikenali sebagai Marcy Dayawan atau Mimi.    Resort 60-bilik itu, yang beroperasi selama lebih 10 tahun itu, terletak kira-kira dua batu nautika dari Pekan Semporna.
              
Mohammad berkata pada 26 Mac lepas, pasukan keselamatan ESSCOM mengesan lima bot yang cuba memasuki perairan Semporna dipercayai bagi melakukan penculikan.
              
"Namun, di atas kesiapsiagaan dan rondaan yang dilancarkan oleh ESSCOM, kita berjaya menghalang empat bot daripada meneruskan niat mereka untuk melakukan penculikan," katanya.       

Sementara itu, beliau berkata 15 pekerja asing di Singgahmata Adventures Reef and Resort ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Mohammad juga meminta Jabatan Imigresen untuk memanggil dan menyiasat pengusaha resort itu yang dikatakan menggaji pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah.        

Sehubungan itu, beliau memberi amaran tindakan tegas, termasuk mendakwa mereka di Mahkamah, akan diambil terhadap mana-mana majikan atau pengusaha resort yang mengambil dan menggaji pekerja asing tanpa dokumen yang sah.
               
"Di sebalik peringatan berulang kali yang diberikan termasuk semasa pertemuan dengan pengusaha resort atau pusat pelancongan Sabah baru-baru ini tetapi masih ramai yang enggan mematuhinya.  Jadi kita tidak akan berkompromi dalam hal ini lagi," katanya.(MK)


Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails