Sunday, April 13, 2014

MH370: Hishammuddin Tolak U/M'sia Tiada Kaitan CIA


Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengatakan media bebas membuat teori atau spekulasi sendiri kerana jika terbukti ia tidak benar, ia hanya akan menyebabkan kredibilit mereka terjejas. – Gambar The Malaysian Insider, 13 April, 2014.
Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengatakan media bebas membuat teori atau spekulasi sendiri kerana jika terbukti ia tidak benar, ia hanya akan menyebabkan kredibilit mereka terjejas. – Gambar The Malaysian Insider, 13 April, 2014.  

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menolak cadangan Utusan Malaysia minggu lepas bahawa Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat, atau CIA, mempunyai kaitan dalam kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Beliau membandingkan dakwaan akhbar itu dengan laporan spekulatif media Barat dan mengatakan mereka bebas untuk untuk berbuat demikian.

"Akhirnya, jika laporan mereka palsu, mereka akan kehilangan kredibiliti," kata Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan kepada pemberita semasa lawatan beliau untuk melihat persiapan pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.‎

Pada 7 April, Utusan berkata sudah sampai masanya berfikir “di luar kotak” berkenaan insiden itu, berkata ia boleh menjadi satu helah bagi mencemarkan hubungan baik antara Malaysia dan China.
Membuat teori konspirasi yang diedarkan secara meluas mengenai penglibatan CIA dalam serangan 9/11 pada 2001, lidah rasmi Umno itu berkata tidak semua dakwaan itu ditolak sebagai karut atau teori konspirasi semata-mata.

"Jika CIA boleh mengatur serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001, tidak mustahil untuk mengaitkan insiden MH370 dengan agensi perisikan," tulis penolong pengarang Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussein.

Hishammuddin bagaimanapun, memberi penekanan terhadap penyertaan bersungguh-sungguh AS di pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia, yang bermula esok.

"Jika ada (penglibatan CIA), saya tidak fikir kita akan melihat sebarang kehadiran serius AS di sini," katanya.

Kehilangan misteri penerbangan MH370 membawa kepada pelbagai spekulasi di Internet, termasuk seorang yang mendakwa pesawat penumpang dengan 239 mungkin mendarat di pangkalan tentera AS di Diego Garcia, terletak di Lautan Hindi.

Seorang jurucakap kedutaan AS di Kuala Lumpur menafikan kemungkinan itu dengan berkata tidak ada kebenaran terhadap spekulasi itu.

Penafian Hishammuddin hari ini adalah yang kedua dalam masa dua hari berkaitan penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac.

Semalam, beliau mempersoalkan laporan muka depan New Straits Times, yang memetik daripada sumbernya sebagai berkata pembantu juruterbang MH370, Fariq Abdul Hamid, membuat panggilan telefon semasa pesawat terbang rendah melalui ruang udara Pulau Pinang.

"Saya tidak boleh komen (mengenai laporan akhbar itu) kerana jika ia adalah benar, kita tentu mengetahui mengenainya lebih awal," katanya sebagaimana dipetik Bernama. – 13 April, 2014. (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails