Saturday, April 05, 2014

MH370: Raba Dalam Gelap, Fasa Baru Operasi Bawah Lautan.

Foto
SALAH satu kapal pertahanan tentera laut Australia, Ocean Shield milik tentera laut British.

PERTH: Ibarat meraba dalam kegelapan, fasa baru operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 di bawah permukaan Lautan Hindi oleh dua kapal tentera laut Australia dan British bermula pagi tadi tidak menjanjikan sebarang penemuan namun ia tetap dijalankan kerana pasukan pencari menyifatkan usaha itu bukanlah kerja sia-sia.

Laksamana Pertama Tentera Laut Diraja Australia Peter Leavy mengakui tidak menaruh harapan tinggi dapat mengesan kotak hitam memandangkan sehingga kini belum ditemui sebarang serpihan pesawat bagi menentukan kawasan pencarian sewajarnya.

Foto
ALAT pengesan kotak hitam milik Tentera Laut Amerika Syarikat atau 'Towed Pinger Locator' (TPL).

Alat TPL itu dapat mengesan isyarat sehingga kedalaman 6,100 meter tetapi hanya jika berada di dalam lingkungan kotak hitam itu, bagaimanapun usaha mengesan hanya membabitkan kedalaman 5,800 meter dengan kedua-dua kapal harus bergerak pada kelajuan yang rendah sekitar tiga knot, katanya.

Leavy juga berkata, usaha harus dijalankan secara tersusun dan berhati-hati bagi memastikan TPL dapat mengesan sebarang isyarat termasuk yang sangat lemah. Ketua penyiasatan kemalangan di Central Queensland University, Australia Geoff Dell berkata, tanpa penemuan serpihan yang dapat dikaitkan dengan MH370, pasukan pencari tidak boleh menentukan mereka berada di kawasan yang betul.

“Mereka mungkin bernasib baik dan lalu di atas kotak hitam itu. Namun, pada pendapat saya, mereka terpaksa bersedia untuk tempoh pencarian yang lebih lama,” katanya.
‘Meraba dalam kegelapan’
Mengesan di lautan.

Sementara itu, Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Angus Houston pada sidang media di sini, hari ini memberitahu, Ocean Shield dan HMS Echo akan melakukan pencarian dalam laluan sejauh 240 km. Menurutnya, ini adalah kali pertama pencarian bawah permukaan air dilakukan dalam misi mengesan isyarat daripada kotak hitam penerbangan MH370.

“Kawasan pencarian dipilih berdasarkan kebarangkalian tertinggi di mana ia mungkin memasuki lautan.
“Kami dimaklumkan isyarat lokasi daripada kotak hitam hanya berfungsi selama sebulan dan tamat tempoh semakin dekat,” kata Houston.

Menurut laporan, Isnin ini adalah hari ke-30 sejak pesawat itu hilang sekali gus dijangka berakhirnya kuasa bateri kotak hitam. - Agensi

Lihat kisahnya dari awal..
E-Buku IH-84: Apa Di Balik Misteri MH370 Yang Hilang?
E-Buku IH-84: Apa Di Balik Misteri MH370 Yang Hilang?

No comments:

Post a Comment