Tuesday, April 01, 2014

MOU Air S'ngor Yang Bijaksana -Subky Latif


Oleh SUBKY LATIF
Sehingga rencana ini ditulis kandungan MOU antara kerajaan Selangor dan kerajaan Persekutuan tentang penyelesaian isu air di Selangor belum didedahkan.
     
Tetapi ia adalah satu penyelesaian yang mengikut bahasa orang sekarang menang-menang. Pada pandangan kasarnya negeri Pakatan Rakyat Selangor tidak kalah dan kerajaan BN Malaysia pun tidak kalah. Walaupun Selangor tidak menang semua, kerajaan pusat BN pun tidak menang semua.
    
Yang dikehendaki oleh kerajaan Selangor ialah ia mahu menstruktur semula perkhidmatan air di Selangor yang Wilayah Persekutuan Lembah Kelang termasuk di dalamnya. Ia mahu memberi apa yang dijanjikannya dalam manifesto PRU 2008.
   
Ia mahu memberi air percuma bagi yang bilnya tidak melebihi 20 meter padu sebulan, tiada kenaikan tarif air dalam jangka waktu belum difikirkan lamanya, cukup air terawat di luar masa bencana dan lain-lain.
   
Semua kemudahan dan kebajikan rakyat tidak berikan diberikan selagi semua agensi air yang dikonsensi itu tidak dipulangkan pentadbirannya kepada kerajaan Selangor.
   
Maka kerajaan Selangor seperti membeli semua syarikat berkenaan dengan tawaran harga yang tinggi sekitar RM9 bilion. Jumlah itu adalah termasuk mengambil alih semua eset dan pinjaman bank serta keuntungan bagi orang-orang yang bertuah mendapat konsensi itu. Kerajaan pusat pula bagi memudahkan Selangor dapat apa yang dimahunya menambah pula RM2 bilion supaya senang konsesi melepaskan harta Qarun itu.
   
Selangor tidak mahu loji Langat-2 itu tetapi tiada cara kerajaan pusat hendak menjaga air mukanya kalau loji itu tidak diterima sama. Payah bagi kerajaan pusat dan si konsensi untuk melepaskan konsensinya jika loji itu tidak disetujui.
   
Lagi pun di akhirnya nanti Selangor dapat loji yang besar dan canggih.
   
Ada tanda-tanda tawaran yang dibuat oleh kerajaan Selangor adalah satu hadiah Selongor pihak-pihak yang bertuah itu. Si konsensi tidak menerima tawaran Selangor itu kerana ia tidak mahu hilang kilang duitnya atau ia tidak cukup dengan hadiah itu.
   
Jika kedua-dua pihak hendak berkeras kepala, ada tanda-tanda kerajaan Selangor akan dapat semula semua tanpa membuat apa-apa tawaran. Dikatakan ada peraturan kerajaan Selangor boleh ambil bodoh saja khazanah itu tanpa beri apa-apa kepada sekalian ahli perniagaan itu.
  
Tetapi kalau kerajaan Selangor buat macam itu, seperti ia merampas dan memilik negerikan semua syarikat itu seperti yang dilakukan oleh kebanyakan ala sosialis yang merampas semua syarikat asing.
   
Ada payahnya dari segi imej dan budi bahasa bagi kerajaan Selangor, tetapi Selangor boleh ambil tindakan begitu. Kalau itu yang terjadi akan berbalah sakanlah kesemuanya tetapi Selangor boleh dapat percuma apa yang ia hendak.
  
Tapi Selangor tidak mahu ambil milik itu mengikut cara Tuan Mugabee di Zimbabwe. Jangan rampas rezeki orang walaupun cara mereka mendapatkannya dulu penuh dengan tanda tanya.
   
Menteri Besar Selangor adalah bapa saudagar kepada semua saudagar, tahu apa susah dan kerenahnya jika berbalah dengan sekalian saudagar.
  
Caranya dia tidak ambil percuma milik yang dia tidak salah dari segi peraturan. Orang selama ini mendapat tuah masih ada lagi tuahnya. Tidaklah hilang rezeki langsung. Ada juga royalti dan lain-lain keuntungan. Cuma mereka tidak boleh jadi raja air untuk buat apa mereka suka.
  
Pilihan buat si konsensi ialah mahu rezeki melillih lagi walaupun hilang milik atau tak mahu dapat apa-apa lagi. Langkah yang bijaksana itu, beli balik dengan harga yang patut supaya semua pihak dapat apa yang patut. Walapun konsensi tidak lagi dapat semua tetapi ia tidak pula hilang semua. Yang penting Selangor dapat yang ia mahu. (HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails