▼
Thursday, April 10, 2014
Parti Jokowi Peroleh Undi Terbanyak (PDI-P)
AFP: JOKOWI dan isterinya, Iriana Widodo (kanan) menunjukkan sebatang jari yang mengandungi dakwat selepas mereka mengundi di sebuah pusat pengundian di Jakarta semalam.
JAKARTA - Parti pembangkang utama menduduki tempat pertama dalam pengiraan undi pada pilihan raya Parlimen semalam.
Menurut dua tinjauan dua pengiraan awal, Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P) memperoleh antara 19 hingga 20 peratus undi.
Parti Golkar yang pernah diketuai bekas Presiden, Suharto menduduki tempat kedua dengan memperoleh 15 peratus daripada jumlah undi yang telah dikira.
Tempat ketiga diduduki parti Gerindra yang dianggotai bekas pegawai tentera Indonesia, Leftenan Jeneral Prabowo Subianto dengan memperoleh undi sebanyak 12 peratus.
Parti PDI-P mencalonkan Datuk Bandar Jakarta, Joko Widodo sebagai calon Presiden yang akan bertanding pada pilihan raya Presiden pada Julai depan.
Joko terkenal kerana sering gembira ketika membuat lawatan mengejut ke kawasan setinggan, menegur pegawai kerajaan yang malas dan berhibur di konsert heavy metal.
Pendekatan secara terus dan imej beliau sebagai rakyat biasa menjadikan Joko atau lebih dikenali sebagai Jokowi calon popular untuk menjadi presiden negara itu yang baru.
Jokowi, 52, juga dilihat sangat jauh berbeza dengan pemimpin elit terdahulu termasuk ketika era Suharto.
"Saya berpendapat rakyat mahukan seorang pemimpin yang mudah untuk mereka dampingi.
"Malah, ini juga suatu perkara baharu bagi rakyat di negara ini untuk mendapat seorang pemimpin yang bersikap sederhana," kata penganalisis dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Jakarta, Tobias Basuki.
Parti PDI-P kini dijangka menang besar dalam pemilihan Parlimen semalam bagi menentukan parti mana yang akan meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya Presiden.
Jokowi berasal dari keluarga sederhana dan membesar di perkampungan setinggan di Surakarta, Jawa Tengah. Beliau menamatkan pelajaran dalam bidang perhutanan di sebuah universiti di Indonesia dan bekerja di sebuah syarikat perabot sebelum menyertai politik pada 2005 selepas dipilih sebagai datuk bandar Solo.
Karier politiknya mula bersinar selepas berjaya mewujudkan satu sistem tram dan menempatkan semula penjaja jalanan di bandar itu. Kejayaan beliau itu mula mendapat perhatian sekali gus memudahkan beliau untuk dipilih untuk jawatan tertinggi di Jakarta pada 2012. - Agensi
Aku lebih berharap prabowo sebagai president Indonesia kerana jokowi masih belum menyelesaikan janji2nya mengatasi masaalah banjir Dan kesesakan Jalan di Jakarta sewaktu baru menjawat sebagai gubonur Jakarta.
ReplyDelete