Sunday, April 06, 2014

Penculikan Di Semporna: Pengalaman Ngeri Berunding Dg Abu Sayyaf .


 














BERITA dari Kota Kinabalu menyebutkan, kumpulan lelaki bersenjata Abu Sayyaf yang menahan dua wanita warga asing, yang diculik dari Semporna dipercayai kembali ke pangkalan mereka di pulau Jolo.

Tentera dan polis Filipina yang menjejaki kumpulan bersenjata diketuai oleh Murphy Ambang Ladjia atau lebih dikenali sebagai Haji Gulam, mengesyaki bahawa lelaki bersenjata itu keluar dari pangkalan mereka di Simunul, di pulau Tawi-Tawi dan menuju ke kubu kuat Abu Sayyaf di Jolo, yang digelar 'pusat penculikan di Filipina".

Ketua Polis wilayah Sulu, Supt Abrahim Orbita berkata, pasukan keselamatan menerima laporan mengenai kumpulan lelaki bersenjata itu di pulau Jolo bersama dengan pelancong warga China, Gao Huayun, 29, dari Shanghai, dan pekerja hotel warga Filipina, Marcy Dayawan, 40, yang diculik Singamata Reef Resort lewat malam Rabu.

"Kami cuba untuk mengesahkan laporan ini," kata beliau ketika dihubungi melalui telefon di Jolo pada Sabtu. 

Pulau Jolo di selatan Filipina, tidak pernah sunyi daripada teropong media antarabangsa, selain menjadi markas kumpulan bersenjata Abu Sayyaf menentang Kerajaan Filipina, dengan pulau cuma lima jam perjalanan bot laju dari Semporna, Sabah itu dijadikan pusat penculikan sebagai satu industri bagi meraih pendapatan.

Kejadian penculikan membabitkan rakyat Malaysia bermula sejak 23 April 2000 lagi, apabila sekumpulan 21 pelancong asing dan pekerja pulau peranginan Sipadan, menjadi mangsa culik kumpulan Abu Sayyaf. Beberapa siri penculikan berlaku dan termasuk kisah seorang ahli perniagaan Malaysia, Nazarudin Saidin dari Kuala Lumpur yang berurusan perniagaan ditahan di Jolo. 

Begini, pengalaman ngerinya semasa ke kubu Abu Sayyaf di Jolo, Selatan Filipinaitu. Pengalaman membuat liputan selama 18 hari di selatan Filipina untuk bertemu tebusan Malaysia belasan tahun lalu masih menjadi ingatan sehingga kini, kerana hampir menjadi mangsa culik yang boleh dikongsi bersama.

Penulis dan jurugambar, Datu Ruslan Sulai turut berdepan pengalaman ngeri ketika membuat liputan bersama pasukan perubatan Malaysia di kawasan persembunyian kumpulan Abu Sayyaf yang diketuai Komander Robot (Ghalib Andang) yang terbunuh ketika ditahan di penjara di Manila tidak lama dulu) di Bandang, Jolo.

Tujuan asal membuat liputan kemudian berkembang menjadi juru perunding bagi membolehkan empat anggota pasukan perubatan Malaysia diketuai Dr Yahya Ahmad memberi rawatan kepada tebusan di Barangay Tiis Kudtong selepas mereka diugut supaya membayar 10,000 peso (RM698) sebelum dibenarkan masuk.

Begini kisahnya..

["Sebelum proses ugutan bermula, konvoi kenderaan kami dan satu kereta pengawal pengiring terpaksa berhenti di Bandang kerana menunggu kebenaran masuk. Ketika menunggu lebih tiga jam dari jam 8 pagi hingga 11.30 pagi, kami tidak dibenarkan turun dari jip Tamaraw kerana bimbang akan keselamatan diri.
Kira-kira jam 11 pagi, saya dikejutkan dengan satu bisikan ke telinga daripada seorang anggota kumpulan terbabit meminta duit sebanyak 10,000 peso (RM698) untuk membeli peluru.

Saya kaku sekejap dan terus teringat pengalaman 12 wartawan Jerman sebelum itu ditahan lebih tiga jam, sebelum dibebaskan mereka terpaksa mengorek duit sebanyak 1 juta peso (RM69,780) sebagai wang pelepasan diri.

Saya mengatakan tidak membawa duit, tetapi mereka enggan mengalah. Dalam pada itu, rakan mereka secara sengaja menjatuhkan raifal M16 ke lantai kenderaan, manakala yang lain mengeluarkan peluru pistol sambil bermain-main... mungkin sebagai isyarat.

Tiada pilihan. Saya berbisik kepada Dr Yahya... dia terdiam. Sebelum kami masuk ke tempat tahanan tebusan, Gabenor Sulu, Abdusakur Tan memaklumkan perjalanan pasukan perubatan Malaysia tidak akan diganggu termasuk tuntutan wang. Itu jaminan Abdusakur tetapi pengawal yang mengiringi kami menghilangkan diri.

Keadaan menjadi tegang, rundingan pembebasan kami bermula. Kami hanya berunding di celah pokok pisang dan kopi, kira-kira 15 meter dari kenderaan. Rundingan bermula dan kata putus diambil untuk membebaskan kami.

Saya kembali ke kenderaan dengan lapang dada, rundingan sudah selesai. Andaian meleset di dalam kereta, saya sekali lagi dibisik tentera yang berjabat tangan dengan saya, “Kami mahu beli ubat dan senjata, kami mahu duit, ‘tapuk-tapuk’ (secara sembunyi - bahasa Sabah).”

Sekali lagi saya bisik permintaan mereka kepada Dr Yahya, dia tidak berkata apa-apa, tetapi sebelum meninggalkan rumah Gabenor Abdusakur kira-kira jam 8 pagi sebelum itu, saya memberi andaian bahawa ‘hadiah sagu hati’ perlu diberikan sekiranya masuk ke tempat tebusan.

Rundingan kedua bermula, apabila saya dipanggil ke tempat perundingan di bawah pokok kopi dan pisang. Kali ini saya memanggil pengawal peribadi kami, Ibrahim yang juga penduduk Talipao dalam rundingan. Selepas Ibrahim yang bersenjatakan pistol berunding dan bertengkar di dalam bahasa Tausug campur Melayu dan saya mengatakan kumpulan kami tidak membawa duit kerana kami hanya menjalankan tugas.

Selepas berunding hampir 10 minit akhirnya keputusan dibuat kami terpaksa bayar untuk masuk, kalau tidak kami tidak dibenarkan membuat liputan dan memberi rawatan kepada tebusan walaupun sedikit. Saya berlari ke Tamaraw (kenderaan) berbisik dengan Dr Yahya, dia bersetuju memberi ‘hadiah’ tetapi dalam jumlah yang sedikit.

Nasib baik Dr Yahya membawa wang. Saya berlari semula ke kawasan rundingan, dan terus berjabat tangan dengan wang yang tidak tahu jumlahnya bertukar tangan.

Serentak itu, suara dari kenderaan berteriak “Cepat! Cepat! Masuk, Tamaraw hendak bertolak ke kem,” saya hampir terjatuh kerana terpijak batang pisang.

Kami bertemu semua tebusan warga Malaysia Fong Yin Ken, Zulkarnain Hashim, Kua Yu Loong, Vincent Kong, Lee Hok Liong, Francis Masangkim, Basilius Jim, Baln Krishnan Nair, Abdul Selamat serta warga Filipina, Roland Ullah dan mendapatkan bahan berita daripada mereka yang hanya boleh dihantar ke Kuala Lumpur selepas kembali ke Zamboanga City menaiki kapal penumpang.   (BH/Muhd Yusuf Abu Bakar/muhdyusuf@bharian.com.my)]

Begitu, kongsi pengalaman bersama, terima kasih kepada penulisnya..  (IH)

Lihat lagi..
E-Buku IH-85: Pembunuhan Ke Atas Melayu/Islam Di Memali.
E-Buku IH-85: Pembunuhan Ke Atas Melayu/Islam Di Memali.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails