Friday, April 11, 2014

Piala Dunia 2014: Bosnia Bawa Harapan Negara Islam


Senarai kesebelasan utama terbaik Bosnia dan Herzegovina semasa siri kempen kelayakan Piala Dunia 2014

SUKAN
BOSNIA dan Herzegovina, negara yang boleh dikenali dengan latar belakang sejarah yang tersendiri. Negara yang juga dikenali dengan penduduk atau etnik beragama Islam, juga dikenali dengan tempat-tempat menarik seperti air terjun Kravice dan Tunel Spasa(Terowong Harapan).

Berdasarkan faktor perjalanan sejarah negara itu, mungkin kita dapat menilai ciri-ciri penduduk negara Bosnia dan Herzegovina.
Tahun 2014 adalah tahun pencapaian gemilang buat negara ini, kembali layak ke Piala Dunia 2014 di Brazil seolah-olah memberi pulangan besar buat pasukan bola sepak negara ini.
Dilengkapi beberapa nama besar dunia dan semangat kerjasama pasukan yang tinggi, siri Kelayakan Piala Dunia 2014 ditempuhi dengan agak mudah.

Bermula dengan perlawanan pertama menentang Liechteinsten memberi petanda awal tentang kehebatan pasukan negara Islam ini setelah membenam Liechteinsten dengan keputusan 8-1.
Tiga gol dijaringkan penyerang Manchester City, Edin Dzeko dan Vedad Ibisevic manakala pasangan penyerang Edin Dzeko dan midfielder,  Zvjezdan Misimovic dengan dua gol.

Siri diteruskan dengan turun bertandang menentang Latvia berkesudahan kemenangan besar 4-1 hasil jaringan Edin Dzeko, Misimovic dan midfielder berpengaruh A.S Roma, Pjanic.
Siri kelayakan Piala Dunia 2014 yang dihadapi Bosnia dan Herzegovina adalah satu siri kempen yang cukup membanggakan dengan hanya mencicirkan mata pada pertemuan menentang Slovakia apabila tewas 0-1 dan Greece seri tanpa jaringan.

Dalam siri kelayakan Piala Dunia 2014, Bosnia dan Herzegovina hanya dicabar dua negara jiran mereka iaitu Slovakia dan Greece. Slovakia yang turut dilengkapi pemain taraf tinggi seperti Martin Skrtel, pertahanan tengah Liverpool juga Greece (yang digelar ‘unpredictable team’ setelah menjulang Piala Eropah 2004) jelas bukan saingan sebenar untuk Bosnia dan Herzegovina.

 Ketua pasukan Zvjezdan Misimovic nadi utama Bosnia dan Herzegovina.

Bosnia dan Herzegovina turut dilengkapi ramai pemain dunia seperti duo penyerang mereka; Edin Dzeko dan Vedad Ibisevic. Masing-masing bermain untuk Manchester City dan Stuttgart.

Edin Dzeko yang mencatatkan 10 gol dalam 10 perlawanan manakala Vedad Ibisevic menjaringkan 8 gol dalam 10 perlawanan, memberi impak positif tentang ulasan yang wajar diberikan kepada duo penyerang ini.

Bahagian tengah juga merupakan elemen penting dalam pasukan dengan Zvjezdan Misimovic menggalas tugas untuk menggerakkan jentera pasukan negara Islam ini.
Pemain Dinamo Kiev ini menjaringkan 5 gol dalam 9 penampilan juga berkemungkinan diturunkan bersama pemain AS Roma, Miralem Pjanic yang menyumbat 3 gol dalam 8 perlawanan.

Bagi ruang pertahanan pula, pemain Bayer Leverkusen, Emir Spahic menjadi sandaran. Pemain berjersi nombor 5 ini menarik perhatian pada siri kelayakan dengan membuat 10 penampilan di samping Senad Lulic pemain Lazio yang turut menyerlah pada 9 penampilannya di siri kelayakan.

Begovic perlu kental selaku penentu nasib dan pertahanan terakhir pasukan.

Asmir Begovic pastinya ditugaskan sebagai penjaga gawang atau penentu nasib terakhir pasukan sama ada baik atau sebaliknya. Penjaga gol berpengalaman ini menjadi kebanggaan di Stoke City dan tidak mustahil turut menjadi kebanggaan penduduk Bosnia dan Herzegovina di Piala Dunia 2014, Brazil.

Bosnia dan Herzegovina di letakkan sebagai pilihan kedua juara kumpulan selepas Argentina, disamping Iran dan Nigeria. Dua negara Islam diundi dalam kumpulan F ini.

Pastinya keinginan kita untuk melihat kedua-dua pasukan ini beraksi dan mencapai sasaran masing-masing. Membuka mata masyarakat dunia tentang kebolehan negara-negara Islam dalam arena sukan paling diminati ramai ini.

Perlawanan pertama Bosnia dan Herzegovina menentang pilihan pertama kejuaraan kumpulan dan antara pilihan kejuaraan siri Piala Dunia kali ini pada 15 Jun 2014 dan perlawanan kedua menentang Nigeria pada 21 Jun 2014.

Persefahaman dan kemahiran individu pemain-pemain pasukan Bosnia dan Herzegovina perlu diperkukuhkan. Biarpun tewas dalam perlawanan persahabatan menentang Mesir 0-2 tetapi bukan satu batu ukuran untuk menilai kemampuan pasukan ini.

Kekalahan memberi motivasi untuk memperbaiki kelemahan juga membantu terhadap persediaan taktikal dan fizikal menjelan Piala Dunia 2014 di Brazil.

Mengikut pada kumpulan F berdasarkan kedudukan atau ranking dunia, Bosnia dan Herzegovina di kedudukan ke-16, Argentina (3), Iran (49) dan Nigeria (33).
Jelas ramalan untuk Bosnia dan Herzegovina sebagai naib juara kumpulan mungkin ada benarnya, tetapi keputusan padang berbeza dengan keputusan di atas kertas.

Semoga pasukan negara Islam ini akan memberikan impak luar biasa dalam Piala Dunia 2014 biarpun dari keputusan mahupun corak permainan di samping moral dan semangat yang tinggi. (HD)

No comments:

Post a Comment