Wednesday, April 02, 2014
PKR: Monopoli Satu Puak? Ini Teori Penyelesaian Tian Chua..
BENARKAH PKR monopoli satu puak? Kerana itu Naib Presiden PKR Tian Chua menyeru semua ahli parti itu menolak hanya satu puak atau kumpulan saja daripada menguasai parti itu.
Menurut Malaysiakini beliau berkata kekuatan PKR bukanlah perpaduan dalam sesuatu isu sebaiknya kepelbagaian pimpinan dan ahli parti itu sendiri.
"Kekuatan PKR bukanlah kerana kita bersepadu dalam isu tetapi kekuatan kita sejak dulu ialah baik dari segi agama, kaum, mazhab politik dan pelbagai orientasi fahaman.
"Saya percaya untuk mengelakkan menjadi parti monopoli setengah puak atau kumpulan proses ini harus melalui satu kepimpinan yang sentiasa berunding dan mendengar daripada semua pihak," katanya dalam sidang media hari ini.
Kenyataan itu dibuat menjelang pemilihan PKR pada Mei ini, yang mana Tian Chua bakal bertanding merebut jawatan timbalan presiden.
Tian Chua bakal berdepan lima lagi calon, termasuk penyandangnya Azmin Ali (atas), Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Abdullah, serta Datuk K Ramachandram dan Murali Subramaniam. Ahli Parlimen Batu itu turut menegaskan, agenda reformasi dan integriti sepatutnya tersemat dalam “DNA” setiap ahli PKR serta tidak patut dikaitkan dengan pemimpin tertentu sahaja.
"Agenda reformasi kena letak dalam DNA PKR. Tak boleh letakkan pada pemimpin tertentu. Tak boleh kata kalau pemimpin A menang baru parti berintegriti.
“Saya menyeru semua calon untuk beri komitmen yang sama dan bersaing antara satu sama lain dan menjadikan agenda reformasi satu komitmen yang sejagat.
“Barulah kita melalui proses pemilihan ini beri keyakinan pada akar umbi," kata beliau.
Beliau turut mahu parti belajar dari kelemahan pemilihan terbuka pertama pada 2010 yang menyaksikan beberapa pemimpin termasuk seorang calon timbalan presiden keluar dari parti. Menurut Tian Chua lagi, semua calon perlu sedar pemilihan parti bukan "persoalan hidup dan mati" sebaliknya persaingan sesama keluarga.
"Saya berharap PKR dapat menjadi lebih kuat dan beri keyakinan dan inspirasi kepada masyarakat bahawa kita boleh kendalikan pilihan raya parti.
"Persaingan sengit, tetapi dalam masa sama diharap ia tidak menjadi cara yang melemahkan motivasi," kata beliau.
Tian Chua berkata beliau tidak menolak kemungkinan untuk menarik diri dari pertandingan enam penjuru iuu. Katanya, beliau mungkin hanya mempertimbangkan jawatan setiausaha agung parti demi menjaga persahabatan dengan salah seorang pencabarnya, Datuk Saifuddin Nasution. Katanya, beliau akan berbincang dengan pimpinan tertinggi dan dengan setiausaha agung parti itu demi menguatkan lagi barisan kepimpinan parti.
"Keputusan akan dibuat satu dua hari lagi. Saya nak jaga persahabatan dengan Saifuddin,” katanya.
Tian turut membayangkan bahawa beberapa calon lain yang merebut jawatan tersebut juga akan menarik diri selepas rundingan tersebut. (IH)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment