Tuesday, April 08, 2014

PKR: Saifuddin, Rafizi, N/Izzah Gabung Pasukan Tempur Azmin/Khalid.

Pelancaran 'Masa Depan Bersama', kempen oleh Saifuddin Nasution, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli di Petaling Jaya hari ini. Ketiga-tiga pemimpin utama PKR ini akan bergabung dalam satu pasukan bagi pemilihan parti kali ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 8 April, 2014.  
Pelancaran 'Masa Depan Bersama', kempen oleh Saifuddin Nasution, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli di Petaling Jaya hari ini. Ketiga-tiga pemimpin utama PKR ini akan bergabung dalam satu pasukan bagi pemilihan parti kali ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 8 April, 2014.  

Trio pemimpin utama PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bersama Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar mengumumkan akan bergabung dalam satu pasukan bagi pemilihan parti kali ini. Saifuddin berkata, pemilihan dalam parti perlulah melangkaui sebarang pertembungan antara personaliti.
 
"Keputusan ini memuktamadkan keputusan saya untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden. Saya tidak akan berpatah balik," kata Saifuddin, yang juga setiausaha agung PKR, mengenai tawarannya untuk bertanding dalam pemilihan PKR kali ini. 

Rafizi yang juga pengarah strategi PKR berkata pengumuman pasukan ini akan memberi peluang kepada anggota parti untuk memilih pemimpin yang terbaik untuk mereka.

"Setiap langkah mesti memberikan kemenangan kepada rakyat, tidak munasabah kalau tidak berikan manfaat kepada parti.
"Parti perlu lari daripada pertembungan antara dua personaliti, seperti yang kita ketahui antara Azmin dan Khalid," kata Rafizi semasa menghadiri pengumuman bersama di Hotel Media, Petaling Jaya hari ini.

Rafizi menekankan masa depan parti lebih penting daripada pertembungan kedua-dua individu tersebut.

"Parti lebih besar, ia milik rakyat," kata Rafizi yang menawarkan diri bagi jawatan naib presiden PKR.

Nurul Izzah yang juga hadir berkongsi pentas dengan Rafizi dan Saifuddin, dan berkata langkah membentuk pasukan menunjukkan PKR adalah imej sebenar kepimpinan bersama yang menjadi budaya dalam PKR.

"Ini menunjukkan PKR mengamalkan sebuah kepimpinan bersama, kami sedar tidak boleh berdiri seorang diri," kata Nurul Izzah yang juga menawarkan diri dalam pemilihan kali ini.

Selepas berakhir proses penamaan calon PKR peringkat pusat lalu, jawatan timbalan presiden PKR bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru, manakala bagi jawatan naib presiden akan menyaksikan pertandingan 16 penjuru.

Hanya seorang sahaja akan dilantik bagi jawatan timbalan presiden dan empat posisi bagi jawatan naib presiden pula empat kerusi. Pertembungan antara Azmin dan Khalid sememangnya diketahui umum, malahan pengkritik melihat pilihan raya kecil (PRK) Kajang yang baru berakhir baru-baru ini berpunca daripada masalah dalaman kedua-dua pemimpin senior PKR tersebut.

Kemelut antara mereka bertambah runcing selepas Khalid menamatkan khidmat Azmin sebagai ahli lembaga pengarah dalam anak syarikat negeri Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"PKR diwujudkan untuk mendengar suara rakyat," kata Rafizi.

Nurul Izzah juga senada dengan Rafizi, menyifatkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.

"Perpaduan perlu diwujudkan untuk kepentingan rakyat dan bukan kepentingan peribadi," kata Nurul Izzah.

Turut hadir dalam kempen bertemakan "Masa Depan Bersama" tersebut adalah penyandang Naib Presiden, Chua Tian Chang yang juga lawan Saifuddin dalam pemilihan kali ini. Chua, bagaimanapun dikatakan bakal menarik diri bagi memberi laluan kepada Saifuddin untuk mencabar Azmin dan Khalid.

"Saya dahulu ialah pengarah strategi pertama, Tian Chua pengarah kedua dan Rafizi pengarah strategi ketiga PKR.
"Dengan ketiga-tiga pengarah strategi ini dalam pasukan, saya yakin untuk menang," kata Saifuddin.

Namun, Chua sehingga hari ini masih belum memberikan isyarat untuk menarik diri, dan tempoh akhir untuk menarik diri adalah pada 10 April ini. Saifuddin yang dilihat sebagai orang kepercayaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan diri sebagai calon sebagai persiapan diri kepada parti reformasi tersebut untuk mencari pelapis masa depan.

"Pemilihan parti perlu dilihat sebagai sebuah pertandingan yang sihat.
"Ia bagi menilai trak rekod pemimpin, komitmen kepada idealisme PKR, menghormati prinsip kepimpinan bersama... Ia juga bagi menunjukkan persediaan PKR dalam menyediakan pelan kepada pelapis selepas ini," kata Saifuddin.

Nurul Izzah juga menggesa supaya pemilihan kali ini tidak tidak dicemari dengan taktik kotor.

"Jika kita guna taktik kotor dalam pemilihan parti, kita akan hilang asas moral kita.
"Kita tidak boleh meniru taktik yang dibawa oleh Umno," kata Nurul Izzah.

Beliau juga mendesak supaya permasalahan politik dalaman dihentikan bagi mengelak persepsi tidak baik ke atas PKR. Pemilihan PKR akan bermula 25 April dan berakhir pada 11 Mei ini.

Seramai 500,001 ahli PKR layak mengundi pada pemilihan kali ini, ahli PKR paling ramai adalah di Selangor dengan sebanyak 144,020 anggota, diikuti dengan Sabah sebanyak 86,955.

PKR melaksanakan pemilihan secara langsung bagi semua jawatan di peringkat cabang serta di peringkat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT), termasuk jawatan presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggota MPT. – 8 April, 2014. (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails