▼
Wednesday, April 23, 2014
Sembunyi Dalam Tayar Pesawat, Tumpang Ke Hawaii.
SAN JOSE - Seorang remaja lelaki terselamat selepas menaiki penerbangan dari California, Amerika Syarikat menuju ke Hawaii dengan bersembunyi di ruang tayar pesawat, menurut kenyataan sebuah syarikat penerbangan kelmarin.
Remaja berusia 16 tahun yang tidak didedahkan identitinya itu ditemui oleh beberapa pekerja penerbangan berkenaan selepas Penerbangan 45 milik Hawaiian Airlines mendarat di Maui pagi kelmarin setelah berlepas dari sini.
Mereka kemudian memaklumkan penemuan tersebut kepada kakitangan keselamatan.
Dalam pada itu, beberapa pegawai Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengesahkan bahawa remaja lelaki itu telah melakukan perjalanan tersebut dengan bersembunyi di ruang sempit tersebut.
Penerbangan dari sini menuju ke Hawaii mengambil masa lebih lima jam. Setakat ini, pihak Hawaiian Airlines tidak pasti bagaimana remaja itu masih hidup selepas berada pada ketinggian lebih 10,000 meter.
Pada ketinggian itu suhu jatuh pada paras negatif 62 darjah Celsius dan oksigen juga semakin berkurangan. Ketika ditemui, remaja itu berada dalam keadaan separuh sedar dan keliru.
Difahamkan, remaja itu melarikan diri dari rumah selepas bertengkar dengan ibu bapanya.
"Tumpuan kami kini adalah tentang keadaan kesihatan remaja itu yang amat bertuah kerana masih hidup," kata pihak Hawaiian Airlines dalam satu kenyataan. - Reuters
No comments:
Post a Comment