Wednesday, April 02, 2014

Solidariti 5 April Di Baling, Jenguk & Bela Derita Pekebun Getah..




KL: Derita pekebun getah ketika zaman kejatuhan harga komoditi itu pada 1974, yang menyaksikan mereka bangkit melalui Demonstrasi Baling, memang sukar untuk dilupakan. Biarpun sudah mencecah 40 tahun sejarah itu berlaku, namun keperitan serupa kini kembali mencengkam para pekebun getah sejak beberapa bulan lalu.

Para pekebun kita kini terpaksa melalui fasa kehidupan yang sukar apabila harga getah jatuh mendadak, dan tiada pembelaan daripada kerajaan untuk mencari penyelesaian. Kini suara-suara kecewa mula berteriak, tidak tahan lagi dengan keadaan yang tak tahu bila akan berkesudahan ini.
Mereka sudah bersedia, untuk memperjuangkan hak mereka seperti apa yang pernah dilakukan orang tua mereka satu ketika dahulu.

Himpunan 'Nostalgia 40 tahun Demonstrasi Baling' yang akan diadakan pada 5 April ini di Baling, bakal menjadi medan luahan rasa perit mereka. Menurut Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, pekebun getah kini terpaksa berdepan kerugian setiap kali menjual getah atau lebih tepat "tak balik modal".

Katanya, kos yang ditanggung pekebun getah bagi mendapatkan sekilogram getah skrap adalah RM2.80. Bagaimanapun getah mereka hanya akan debeli dengan harga RM2.30 sekilogram apabila mereka menjualnya.

"Setiap satu kilogram, mereka akan rugi 50 sen. Memamg tak masuk akal, harga modal tak dapat, malah jatuh ke rugi," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, kerajaan sewajarnya memandang berat nasib warga pekebun getah ini kerana mereka juga aset penting kepada negara. Suhaizan menjelaskan, pekebun getah ini memberi sumbangan yang besar kepada pendapatan negara dalam bentuk hasil eksport getah.

"Kenapa tak boleh nak bantu mereka sedangkan mereka sudah memberi sumbangan kepada negara.
"Keringat mereka diperah, tapi apa balsan yang mereka dapat," soal Suhaizan lagi.

Himpunan Nostalgia 40 tahun Demonstrasi Baling dianjurkan PAS Kedah bersama NGO rakyat yang prihatin. Ianya sebagai mengimbau kembali keperitan rakyat Baling telah hidup dalam kemiskinan, ekoran kejatuhan harga getah. Perhimpunan itu akan bermula jam dua petang dan dijangka berlangsung sehingga lewat malam.

Selain Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, turut dijangka hadir Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. (HD)

Lihat satu lagi kisah sejarah Baling yang tidak dapat dilupakan..
E-Buku IH-85: Pembunuhan Ke Atas Melayu/Islam Di Memali.
E-Buku IH-85: Pembunuhan Ke Atas Melayu/Islam Di Memali.

No comments:

Post a Comment