Saturday, April 05, 2014

Suara Dari Baling.. Harga Getah -Dr Mohd Hatta



BALING: Himpunan Derita Rakyat Baling 2.0 siang tadi mengimbau kembali sejarah Demonstrasi Baling tahun 1974 yang diadakan bagi mendesak kerajaan menyelesaikan masalah kejatuhan harga getah. Rata-rata pemimpin dalam ucapan mereka menceritakan kembali kisah demonstrasi Baling yang berjaya menunjukkan kuasa rakyat miskin.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, walaupun sudah 40 tahun berlalu namun keadaan petani masih tidak berubah dan kerajaan masih gagal mengatasi masalah kejatuhan harga getah sehingga munculnya himpunan pada hari ini.

"Keadaan tak bertambah baik selepas 40 tahun peristiwa di Baling dahulu.
"Suara dari Baling hari ini akan menjadi suara keramat untuk menuntut kerajaan mengambil tindakan dalam isu harga getah ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul pula dalam ucapannya berkata, peranan mahasiswa 40 tahun dahulu sangat kuat sehingga berjaya menghimpunkan para aktivis turun ke Baling membela nasib petani.

Menurutnya, pada 1974, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan demonstrasi besar-besaran apabila ada laporan media yang menyatakan bahawa penduduk di Baling mati kerana kelaparan akibat kemiskinan. Hasil demonstrasi tersebut, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA) selama 22 bulan.

"40 tahun lalu Anwar dan mahasiswa yang lain sanggup datang ke Baling untuk berdemo isu petani.
"Mereka datang bukan sahaja bas universiti tapi dengan motorsikal.
"Akibat demo ramai ditangkap termasuk Anwar dan Syed Husin Ali dan dikenakan ISA.
"Himpunan hari ini hantar mesej yang jelas bahawa kalau tak ambil tindakan segera banyak lagi himpunan akan berlaku," katanya di hadapan kira-kira 3,000 hadirin.

Himpunan bermula jam empat petang dan berhenti sebentar untuk solat Asar berjemaah dan disambung dengan ucapan wakil-wakil NGO berkaitan isu petani, penternak dan nelayan. Sebelum itu, kira-kira 50 buah motosikal ditunggang anak muda berkonvoi mengelilingi pekan Baling sambil membawa kangkung sebagai sindiran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pekebun kecil, petani, dan nelayan dari beberapa daerah hadir membajiri padang bagi menyatakan kemarahan berhubung kejatuhan harga getah dan isu-isu petani yang lain. (HD)


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails