HALAMAN HIBURAN
Ada Pihak Mahu Tutup Periuk Nasi Akhil Hayy
PETALING JAYA: Penyanyi dan pendakwah bebas Akhil Hayy mendakwa seorang individu berpengaruh cuba menyekat namanya daripada terlibat dengan beberapa program terbitan sebuah stesen televisyen.
Akhil atau nama sebenar Akhil Abdul Hayy, 44, berkata, dia menyedari perkara itu selepas mendapati sudah beberapa kali namanya digugurkan pada saat-saat akhir sebelum menyertai sesebuah rancangan.
"Saya tiada masalah dengan stesen televisyen berkenaan sebaliknya ada seorang individu dalam stesen itu yang cuba menyekat periuk nasi saya.
"Dia menggunakan kuasanya untuk mempengaruhi orang lain sehingga mereka gugurkan nama saya tanpa memberi alasan," katanya kepada mStar Online, di sini, Khamis.
Akhil Hayy menunjukkan single terbaharunya.
Katanya, bukan itu sahaja, malah beberapa program keagamaan popular yang pada mulanya menawarkan dia sebagai juri juga ditarik balik tanpa sebarang alasan.
"Sudah empat tahun perkara ini terjadi. Ia seperti masalah peribadi individu itu sendiri kerana pihak stesen beberapa kali cadangkan nama saya tetapi digugurkan pada saat-saat akhir,” katanya kesal.
Bagaimanapun, dia biarpun tidak muncul di televisyen, dia masih aktif menyebarkan dakwah di masjid dan juga surau. Dalam pada itu, single Andai Esok dicipta oleh Badhisham, manakala lirik ditulis oleh Hairul Anuar Harun. Menurut Akhil, lagu keagamaan ini merupakan sumbangannya kepada umat Islam sebelum dia meninggal dunia.
"Lagu ini menceritakan tentang perjalanan hidup manusia dan saya harap dapat ia memberi kesan kepada orang yang mendengarnya," kata Akhil. (mStar)
No comments:
Post a Comment