Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini menitahkan kerajaan negeri Johor menubuhkan pasukan khas mengkaji untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Pulau Batu Puteh.
Sultan Ibrahim bertitah, langkah itu sejajar dengan pesanan ayahanda baginda, almarhum Sultan Iskandar Pulau Batu Puteh adalah milik Johor dan pulau berkenaan mesti kekal menjadi sebahagian daripada negeri Johor.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di Bukit Timbalan, Johor Baru, hari ini. Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah baginda mahu kontraktor tempatan turut mendapat faedah daripada pelaksanaan pembangunan kompleks petroleum Pengerang dekat Kota Tinggi.
Mengenai kebanjiran pelabur dari China terutamanya dalam sektor hartanah di negeri ini, Sultan Ibrahim bertitah pelaburan seumpama itu amat diperlukan bagi mengekalkan pembangunan ekonomi kerana Johor tidak boleh hanya bergantung kepada pelabur tempatan sahaja.
"Kebetulan pada masa ini hanya pelabur dari China yang dilihat lebih berminat untuk datang ke Johor kerana mereka percaya dengan potensi yang dimiliki negeri ini serta dasar kerajaan yang mesra pelabur," titah baginda.
Sultan Ibrahim dalam pada itu mahu sebuah Perbadanan Alam Sekitar Negeri Johor diwujudkan di bawah Enakmen Negeri Johor seperti yang sudah ditubuhkan di Melaka, Sabah dan Sarawak bagi menjaga dan memelihara alam sekitar negeri Johor.
Mengenai cuti mingguan negeri ini, Sultan Ibrahim mahu kerajaan negeri Johor menyelaraskan cuti mingguan bagi semua sektor di negeri ini kepada hari Jumaat dan Sabtu seperti yang diisytiharkan.
Baginda bertitah terdapat rungutan ibu bapa yang bekerja di sektor swasta mereka tidak dapat meluangkan masa bersama anak disebabkan terpaksa bekerja pada Jumaat.
Sambil melafazkan syukur kerana negeri Johor bertambah makmur, Sultan Ibrahim mengingatkan semua anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan politik masing-masing.
Baginda juga mahu semua anggota DUN supaya memelihara kesopanan dan kesusilaan semasa berbahas.
"Saya ingatkan pikul amanah yang diberikan rakyat dengan penuh tanggungjawab tanpa mengira latar belakang agama, bangsa atau parti politik," titah baginda. – Bernama, 29 Mei, 2014.
No comments:
Post a Comment