Wednesday, May 28, 2014

Chegu Bard Digantung Keahlian, Kongsi Gelap Sabotaj Pemilihan PKR.


 


KL: Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard di antara mereka yang dikenakan tindakan disiplin oleh Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Chegu Bard dari Cabang Rembau diberi surat tunjuk sebab serta digantung keahlian parti serta merta sehingga siasatan selesai.

Menurut Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk  Dr Tan Kee Kwong, Chegu Bard telah membuat kenyataan media yang mendakwa proses pemilihan adalah kotor dan tidak telus.

Siasatan Lembaga Disiplin juga mendapati,  beliau turut membuat dakwaan terbuka dengan menyatakan 'Petugas JPP menjadi agen kepada Azmin Ali' pada 12hb Mei 2014 dan disiarkan dalam laman mysuara.net dan Free Malaysia Today.

"Responden telah juga membuat kenyataan terbuka mengkritik JPP dalam akhbar Berita Harian pada 21hb Mei 2014 bertajuk 'Keputusan penuh penipuan: Chegubard'," katanya dalam satu kenyataan.

Beberapa kes dibentangkan dalam mesyuarat biropolitik bertarikh 27 Mei 2014 yang dipengerusikan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Antara keputusan yang dicadangkan lembaga ini dan dipersetujui oleh biropolitik melibatkan pemecatan seorang ahli anggota PKR iaitu Md Yusop Kamaruddin daripada cabang Pasir Salak, dan empat anggota digantung keahlian.

Tan Kee Kwong berkata, Yusop dipecat dari PKR kerana telah mengingkari arahan surat penggantungan dan terus menjalankan aktiviti yang mencemar nama baik Parti dengan terus membuat kritikan dan serangan terhadap Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan Parti dalam laman sosial Facebook beliau.

Manakala, biropolitik juga telah bersetuju menarik balik penggantungan keanggotaan bagi empat lagi ahlinya yang masing-masing daripada Cabang Kota Raja. Perkara itu dibuat setelah mendengar hujah dan bukti responden dalam sesi pendengaran pada 24 Mei lalu.
 


Sementara itu, pensabotaj pemilihan PKR terdiri daripada anggota kumpulan kongsi gelap semasa  berlaku proses pengundian. Demikian dijelaskan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Johari Abdul dalam satu kenyataan. Dikatakan juga pensabotaj tersebut menggunakan modus operandi berikut:
  1. lebih dari separuh insiden sabotaj telah berlaku selepas jam 2.30 petang
  2. pensabotaj akan merempuh masuk ke dalam dewan pengundian dan menimbulkan kekecohan
  3. sasaran pensabotaj adalah tong-tong peti undi
  4. pensabotaj terdiri daripada anggota kumpulan kongsi gelap - boleh sahkan bahawa perkara ini berlaku sewaktu proses pengundian di Cabang Kota Raja dan Kuala Langat.
Jelasnya, Cabang-Cabang yang akan mengadakan proses pengundian pada 31 Mei Setiu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun, Jerantut, Paya Besar, Pasir Puteh dan Pengerang sementara Tenggara dan Sungai Petani pada 1 Jun. Tambahnya, JPP akan membuat pengumuman tentang tarikh pemilihan semula yang lain dari semasa ke semasa.(IH/peibagai sumber)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails