Hukum
produk Cadbury yang disahkan halal sebelum didakwa mengandungi Asid
Deoksiribonukliek (DNA) babi adalah seperti hukum asalnya iaitu "halal
dimakan", demikian menurut Majlis Fatwa Kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Profesor Emeritus Tan
Sri Dr Abdul Shukor Husin (gambar) berkata ia termasuk dalam kategori
keadaan 'Umum al-Balwa', iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang
berleluasa dan sukar dielak.
"Dalam kes produk siap diproses dan dipasarkan kepada pengguna yang
pada asasnya dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan
bahan-bahan yang suci dan halal, dan juga telah disahkan sebagai halal
tetapi kemudian didapati berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian
produk (kelompok tertentu sahaja), maka dalam keadaan ini, Muzakarah
memutuskan bahawa ia adalah dikategorikan sebagai 'Umum al-Balwa'.
"Hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal
dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar
kawalan dan amat sukar dielakkan," katanya dalam satu kenyataan hari
ini.
Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesan dua sampel coklat Cadbury
iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam
mengandungi DNA babi atau porsin. DNA babi dikesan dalam sampel coklat susu dengan kacang Hazel bernombor
kelompok NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 November 2014 dan coklat
susu dengan buah badam dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh
luput 15 Januari 2015.
Shukor berkata umat Islam yang termakan coklat itu juga tidak perlu
ragu-ragu atau terlalu gusar terhadap kesucian tubuh badan mereka dan
tidak perlu menyamak perut, mulut atau menukar darah.
"Islam bukanlah agama yang terlalu ketat (rigid) dan menyusahkan
umatnya, lebih-lebih lagi dalam keadaan atau perbuatan yang di luar
pengetahuan dan kawalan," katanya.
Beliau berkata pendekatan hukum yang dibuat Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa Kebangsaan itu adalah selaras dengan ajaran Islam yang bersifat
rahmah dan tidak memberatkan umatnya dalam kedaan yang mereka tidak
ketahui atau tidak sedari sehingga menyukarkan kehidupan seperti
pencemaran DNA babi dalam produk makanan seumpama ini.
Bagaimanapun, katanya, pihak berautoriti perlu mengambil tindakan
sewajarnya sebagai peringatan terhadap pihak terbabit jika didapati
perkara itu dilakukan secara sengaja dan lalai terhadap tanggungjawabnya
terhadap pengguna. Beliau turut menasihati umat Islam agar bertenang dan tidak bersikap
terlalu emosional dalam memperkatakan isu itu dan mengelak daripada
melakukan perkara yang dilarang Islam.
"Sewajarnya kita memberi kepercayaan kepada pihak autoriti yang
diamanahkan untuk melaksanakan tugas dalam pengesahan halal haram
sesuatu produk kerana pelbagai proses telah ditetapkan bagi memenuhi
standard halal yang selaras dengan hukum syarak dan telahpun diiktiraf
di peringkat dunia," katanya.
Abdul Shukor berkata hasil kajian mendapati pencemaran atau kontaminasi
produk dengan DNA bahan yang diharamkan seperti babi boleh dikawal dari
peringkat awal penyediaan bahan mentah lagi, dan jika sesuatu produk
itu didapati mengandungi DNA babi semasa proses akhir penghasilannya dan
sebelum dipasarkan, maka ia tidak boleh dikategori sebagai halal.
Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini melantik
pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk
menjalankan kajian saintifik selama setahun berhubung isu pencemaran DNA
babi dalam pelbagai produk makanan siap diproses dan disahkan halal
supaya hukum yang tepat dapat diputuskan, katanya.
Beliau berkata hasil kajian juga mendapati DNA babi boleh menyerap
masuk ke dalam produk makanan sama ada ia disengajakan atau tidak, dan
kontaminasi DNA babi yang berlaku boleh diukur dan diketahui jika
berlaku melalui sentuhan secara fizikal.
Kontaminasi juga mungkin berlaku melalui edaran udara apabila daging
babi dan bahan lain disimpan di tempat yang sama dan kedua-duanya dalam
keadaan tidak bertutup, walaupun tiada persentuhan fizikal berlaku,
katanya.
"Kontaminasi DNA babi tidak akan berlaku sekiranya daging babi dan
bahan halal lain disimpan di dalam bekas yang bertutup kemas dan tiada
sentuhan secara fizikal," katanya.
Shukor juga berkata keputusan muzakarah itu tidak bermakna sesuatu
produk yang didakwa dicemari DNA bahan haram boleh dibiarkan begitu
sahaja.
"Adalah lebih baik tindakan menggantung sementara diambil dan siasatan
terperinci dilaksanakan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan dan untuk
mengetahui bagaimana pencemaran tersebut boleh berlaku, sama ada
disengajakan atau sebaliknya," katanya. – Bernama, 29 Mei, 2014.
No comments:
Post a Comment