Thursday, May 08, 2014

Dr Mujahid Persoalkan Seminar 'mengutuk agama lain'..

 

KUALA LUMPUR:  Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara yang berlangsung di UiTM Shah Alam 6 Mei 2014 tidak banyak membantu memulihkan luka hubungan antara agama di negara ini malah ia mungkin menambah lagi garam pada luka yang belum sembuh, kata Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa.

Dalam satu kenyataan media, Dr Mujahid mempersoalkan motif penganjuran seminar itu kerana jika ia bertujuan mengukuhkan akidah umat Islam tidak bermaksud "kita diberi lesen untuk mengutuk agama lain".

Tambah beliau, jika seminar itu dibuat untuk menghayati kehidupan agama yang rencam d negara ini, maka wakil daripada agama lain hendaklah dijemput supaya perspektif agama lain dinilai dari kacamata penganutnya sendiri.

"Jika ia bertujuan untuk berdebat kepada rumusan betul dan salah maka suasana yang adil dengan memberi suara kepada agama yang dibincangkan untuk mempertahankan diri perlu ada dan kemudian terpulanglah kepada peserta untuk membuat penilaian sendiri," ujar beliau.

Menurutnya, syarat-syarat tersebut perlu ada bagi memastikan suasana intelektual yang sehat pada seminar itu. Beliau menambah, tanpa suasana intelektual yang sihat, seminar itu hanya akan mengundang pelbagai keraguan dan mengeruhkan keadaan yang sudahpun tegang hari ini.

Menurut Dr Mujahid, hubungan antara agama di negara ini sedang diuji pada tahap maksimum dan rakyat terpaksa berada pada tahap kesabaran yang tinggi bagi meneruskan cita-cita Malaysia yang terbina atas hormat menghormati antara satu sama lain.

"Walaupun teras negara ini terbina atas Islam sebagai agama rasmi negara dan kebebasan beragama untuk penganut lain namun ada di kalangan kita yang memekakkan telinga mereka dan membutakan mata mereka hanya untuk mendengar dan melihat kepentingan agenda sempit mereka semata-mata," kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Dr Mujahid turut memetik mafhum forman Allah SWT dalam Surah Al-An'am ayat 108:
  • “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan."
Menurut beliau, pihak penganjur seharusnya lebih arif untuk tidak menjadikan seminar itu sebagai wahana mencetuskan benci membenci antara agama sekalipun dalam rangka mempertahankan apa yang dianggap hak umat Islam.

"Adalah lebih berkesan jika pihak Kristian dijemput sama untuk menjelaskan hal yang menjadi kebimbangan umat Islam seperti penggunaan kalimah Allah, supaya sikap prejudis di antara sama lain dapat dikurangkan," ujarnya.

Dr Mujahid yang juga Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara menambah, dakwaan-dakwaan usaha kristianisasi yang dikatakan merebak di dalam masyarakat Islam di Malaysia adalah tuduhan yang amat berat.

Pihak yang mendakwa, ujarnya perlu mendatangkan bukti yang kukuh dan membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana penyebaran agama lain selain Islam adalah salah dari sudut artikel 11(4).
Jelas beliau, jika dakwaan kristianisasi dan pemurtadan umat Islam dibuat sebagai kenyataan umum, ia berpotensi menimbulkan kemarahan kedua belah pihak malah menjejaskan kedudukan hubungan Islam-Kristian di peringkat global.

"Kita tidak dapat elak daripada terkesan dengan apa yang berlaku di Malaysia kepada apa yang mungkin berlaku di peringkat antarabangsa di mana sesetengah tempat di bahagian dunia di mana umat Islam adalah minoriti.
"Saya menyeru semua pihak supaya tidak memusing jarum jam ke belakang dalam memperkukuhkan hubungan antara agama di negara ini berpandukan kepada apa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan usaha semua pihak melihat hubungan damai antara penganut agama di negara Malaysia maju ke hadapan," nasihat beliau.

Seminar yang berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam itu dianjurkan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Warisan Ibnu Aaby dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dengan sokongan Utusan Malaysia, Kumpulan Karangkraf, TV Al-Hijrah, Zikay Group dan Pantai Bharu Group of Companies. - HARAKAHDAILY, 8/5/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails