DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, menjawab pandangan Mufti Pahang yang sangat mengelirukan dan tersasar dari kaedah pengeluaran hukum.
Katanya, "Saya secara peribadi dengan rendah dirinya bersedia jika berpeluang untuk berbincang secara akademik dan ukhuwwah bersama Sahibus Samahah Dato' Mufti yang saya hormati keilmuannya dan jasanya kepada umat Islam di Pahang bagi merungkaikan dua isu ini bagi kebaikan umat Islam."
Merujuk kepada Berita Harian Sabtu semalam di halaman 10 berhubung isu GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan hukum demonstrasi menurut Islam, katanya kepada Harakah,
- “Penetapan sesuatu hukum percukaian dalam Islam tidak hanya melihat kepada bagaimana hasil cukai dibelanjakan tetapi juga kepada bagaimana kaedah cukai itu diperolehi"
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengulas dengan mengemukakan hujjah...
Ulasan I: Kaedah Kutipan Cukai GST Selaras Dengan Islam?
1. Kenyataan dan kaedah menilai hukum oleh Sahibus Samahah Mufti ini sangat mengelirukan dan tersasar daripada kaedah pengeluaran hukum. Penetapan sesuatu hukum percukaian dalam Islam tidak hanya melihat kepada bagaimana hasil cukai dibelanjakan tetapi juga kepada bagaimana kaedah cukai itu diperolehi.
2. Kaedah umum yang ditetapkan oleh Islam ialah hasil dan cara perbelanjaan akan dipersoal di hari Qiamat. Dalilnya ialah Sabda Nabi SAW:
لا تزال قدما عبد يوم القيامة حتى يسأل عن أربع عن ماله من أين اكتسبه وفيما أنفقه
- Maksudnya: Tidak berganjak dua kaki anak Adam pada hari Qiamat sehinggalah dia disoal tentang 4 perkara....(antaranya) tentang hartanya DARI MANAKAH DIPEROLEHI dan PADA APAKAH DIBELANJAKAN."
4. Isunya ialah adakah kaedah kutipan cukai GST bertepatan dengan Islam?
5. Saya berhujah bahawa kaedah kutipan cukai GST adalah bercanggah dengan Islam dari dua sudut iaitu;
Pertama
A. Kaedah cukai yang dibenarkan dalam Islam ialah dikenakan kepada golongan berkemampuan yang mempunyai lebihan pendapatan untuk akhirnya digunakan untuk maslahah golongan tidak berkemampuan.
خذ من أغنيائهم وتعطى فقراءهم
B. Cukai GST tidak dikenakan berasaskan pendapatan rakyat tetapi dikenakan berasaskan perbelanjaan rakyat. Ini bercanggah dengan konsep percukaian Islam. Cukai yang dibenarkan oleh Islam mestilah diambil berasaskan pendapatan dan bukan perbelanjaan.
C. Ini kerana cukai yang diambil berasaskan perbelanjaaan tidak akan membezakan tahap kemampuan kewangan pembayar cukai. Ini menjadikan golongan yang tidak berkemampuan juga dikenakan cukai atas perbelanjaan mereka.
D. Sementelah lagi Islam meletakkan antara syarat-syarat bagi membolehkan cukai dikenakan kepada rakyat yang berkemampuan ialah tidak berlaku sebarang ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan wang negara yang membawa kerajaan kepada krisis kewangan.
Ulasan II: Himpunan Bantah GST Haram?
Sahibus Samahah Dato' Mufti Pahang juga dilaporkan berkata: "kalau lihat dari segi syarak, tindakan membantah kerajaan adalah seperti berpaling tadah dan haram. Saya tengok lebih daripada 100 hadis menceritakan bahawa haram menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi"
1. Kenyatan Sahibus Samahah ini sangat mengelirukan. Saya teruja untuk melihat 100 hadis yang dikatakan menceritakan bahawa haram menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi sekiranya ada.
2. Saya bimbang Sahibus Samahah terkeliru memahami hadis-hadis yang tidak membenarkan rakyat menentang pemerintah menggunakan senjata atau disebut dalam kitab Fiqh sebagai "bughah" tetapi sebaliknya menegaskan kewajipan rakyat mengengkari dengan hati dan lidah.
3. Antaranya Nabi saw bersabda dalam Hadis Sahih Muslim:
ستكونُ أمراءُ . فتعرفونَِ وتُنْكرونَ . فمن عَرِف بَرِئ . ومن نَكِرَ سَلِمَ . ولكن من رَضِي وتابعَ قالوا : أفلا نقاتلهُم ؟ قال : لا . ما صلوا
- Maksudnya: "Nanti akan ada pemerintah-pemerintah. Kamu suruh mereka melakukan makruf dan kamu bantah kemungkaran mereka. Maka sesiapa yang membenci (dengan hati) dia terlepas (dari dosa). Sesiapa yang membantah (dengan lidah) dia selamat (dari dosa). Tetapi sesiapa yang redha dan menurut (dia tidak terlepas dan selamat)."
4. Hadis di atas sangat jelas menunjukkan 2 hukum:
- Pemerintah yang melakukan kemungkaran perlu ditegur dan dibantah. Mereka yang membantah dengan hatinya terlepas dari dosa. Mereka yang membantah dengan lidahnya terselamat dari dosa.
- Memerangi pemerintah yang melakukan kemungkaran dengan senjata tidak dibolehkan selagi mana mereka solat dan menegakkan ibadah solat dalam masyarakat Islam sebagaimana sabit dalam satu riwayat hadis yang lain
Himpunan Bantah GST adalah himpunan bantahan dengan lidah bukannya dengan senjata. Maka hukumnya adalah diharuskan bahkan disunatkan. Namun, membantah dengan hati tetap menjadi kewajipan.
6. Salah seorang Tabi'i besar iaitu Abu Muslim al-Khaulani rahimahullah pernah membantah secara berdepan di khalayak ramai tindakan Khalifah Mu'awiyah radiayallahu anhu (r.a) sahabat Nabi yang menjadi pemerintah negara Islam, membekukan agihan wang negara yang sepatutnya kepada rakyat.
Tindakannya tidak dianggap sebagai penderhakaan terhadap Mu'awiyah r.a. selaku pemerintah negara umat Islam malah Mu'awiyah r.a. memperakui teguran terbuka Abu Muslim lalu menarik kembali polisi pembekuan agihan itu.
7. Sementelah pula Himpunan GST adalah himpunan yang berlangsung secara aman yang dibenarkan menurut lunas undang-undang negara sebagai satu mekanisma rakyat menyampaikan pandangan dan bantahan terhadap dasar-dasar kerajaan.
8. "Saya secara peribadi dengan rendah dirinya bersedia jika berpeluang untuk berbincang secara akademik dan ukhuwwah bersama Sahibus Samahah Dato' Mufti yang saya hormati keilmuannya dan jasanya kepada umat Islam di Pahang bagi merungkaikan dua isu ini bagi kebaikan umat Islam." kata Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Kita tunggu jawab Mufti Pahang.
Sekian.(IH)
No comments:
Post a Comment