Sunday, May 25, 2014

Hairan, Melayu Pakai Serban Lawan Perundangan Syariah -N/Aziz


KOTA BHARU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, biar pun DAP tidak bersetuju terhadap pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan, namun mereka boleh diajak berbincang.

Sebaliknya kata beliau berbeza dengan MCA dan Gerakan mereka juga menentang tetapi tidak mahu ketika diajak berbincang. Malah, menurutnya PAS dan kerajaan Kelantan menerima kunjungan pelbagai pihak lain termasuk NGO berdialog mengenai perundangan syariah.

“Pada peringkat awal sebelum dibawa ke persidangan Dun enakmen tersebut dibincang dengan pelbagai pihak. Malah saya masih ingat kita juga jemput wartawan-wartawan asing berdialog mengenainya.
“Setelah selesai gubal rang undang-undang itu kita bentangkan kepada umum lagi bagi mendapatkan pelbagai pandangan. Perkara seperti ini tidak pernah dibuat di negara-negara lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Seminar Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan di Putik petang tadi.

Hadir sama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.  Menurut  Ahli Parlimen Marang itu juga program dialog dengan masyarakat bukan Islam akan diteruskan bagi membolehkan mereka mendapat gambaran yang lebih jelas.

Ditanya masih ramai bukan Islam menyuarakan bantahan, katanya perkara itu menjadi kebiasaan memandangkan mereka belum dapat melihat kesannya kerana ia belum lagi dilaksanakan.

Ketika berucap sebelum itu kata beliau pada peringkat awal ketika pengubalan draf mengenainya semua pihak dijemput menghadiri seminar, perbincangan dan bengkel.

“Mereka yang hadir termasuk orang bukan Islam, NGO dan parti-parti politik kecuali Umno,” ujarnya.

Menurutnya juga pakar yang terbabit ketika mengubal rang undang-undang tersebut termasuk Prof Ahmad Ibrahim, Datuk Harun Taib, Tun Salleh Abas dan ramai lagi antaranya sudah ramai meninggal dunia.

“Selain itu kita juga membaca buku pelbagai mazhab mengenai perundangan syariah. Ini jelas menggambarkan kayanya Islam dengan pelbagai bidang ilmu,” ujarnya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pula melahirkan rasa hairan kerana pihak yang menentang perundangan syariah sebelum ini ialah orang Melayu yang pakai serban. Katanya, sebelum ini juga tidak pernah timbul orang Cina yang menentang perjuangan dibawa PAS, sebaliknya orang Melayu yang cuba menghalangnya.

“Sebab itulah ada orang Melayu kata agama lain, politik lain. Orang Melayu ketika zaman penjajah tidak ada duit kerana semua hasil ekonomi dikaut Inggeris.
“Kemudian setelah Inggeris pulang datang pula orang Melayu di mana ada yang dilantik menjadi Menteri Besar, Exco dan tauke balak.
“Apabila sudah senang mereka juga tidak menunjukkan minat dengan usaha bagi mendaulatkan perundangan Islam,” katanya. - HARAKAHDAILY 24/5/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails