Oleh DATUK DR MUJAHID
ULASAN Jiwa dan minda adalah perkara
yang sangat penting kerana ia akan membuat tafsiran kepada logik yang
akan menjadi sikap seseorang terhadap sesuatu isu. Banyak faktor yang
mempengaruhi minda seseorang terhasil daripada persepsi yang
diterimanya.
Artikel ini cuba meneroka jiwa dan minda dalam logik masyarakat Cina
secara khusus merujuk kepad isu hudud yang hangat diperbincangkan
mutakhir ini dalam usaha cuba memahami apa yang dibimbangi, dibincangkan
dan dipolemikkan mengikut psike (psyche) masyarakat Cina.
Psike Cina
Psike atau situasi jiwa dalam dan minda sesebuah masyarakat berbeza
daripada satu kaum kepada satu kaum yang lain. Situasi psike banyak
dipengaruhi oleh budaya yang diwarisi turun temurun serta nilai-nilai
moral yang menentukan tindak-tanduk sesebuah masyarakat.
Masyarakat Cina mempunyai psikenya yang tertentu dan oleh kerana sejarah
mereka yang panjang serta diaspora Cina tersebar ke seluruh dunia maka
kehendak secara semulajadi memelihara budaya dan gaya hidup mereka dalam
lautan masyarakat yang ada psikenya tersendiri menjadikan pertembungan
budaya sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan perasaan yang
disepakati bersama dalam masyarakat Cina ialah kebimbangan pencairan
berlaku di atas sebab ‘pemaksaan secara sistematik’ sesuatu yang mereka
tidak memahaminya.
Isu hudud perlu diletakkan dalam perspektif psike ini dan ia tidak ada
kena mengena penerimaan atau penolakannya atas sebab membenci Islam atau
suka kepada Islam tetapi ia dihamparkan atas premis sama ada psike
mereka dapat menerimanya atau tidak dan ia terpulang kepada sejauh mana
kita dapat temukan psike Melayu dan Cina di atas jalur dan kerangka yang
lebih konstruktif dan objektif.
Psike Bahasa Mandarin
Bahasa memainkan peranan penting untuk membentuk sesuatu kefahaman dan
sebab itu setiap penghuraian konsep akan dimulakan definisi secara
bahasa dan istilah. Istilah menerangkan secara tepat dan padat
keseluruhan kerangka konstruktif kepada sesuatu konsep dan
kategori-kategori yang kemudiannya dihuraikan.
Dalam isu hudud dan istilah Islamik yang lain, psike Bahasa Mandarin
yang terbenam dalam kefahaman pembacanya turut mempengaruhi cara mereka
memahami sesuatu istilah.
Contohnya agama Islam dalam Bahasa Mandrin yang dipakai ialah “Hui
Chjow” yang membawa maksud “agama kaum Hui”. Kaum Hui difahami sebagai
etnik Cina yang memeluk Islam sejak zaman-berzaman.
Islam tidak dipakai dalam maksudnya yang asal tetapi dikaitkan kepada
sesuatu etnik di negara China. Parti Islam SeMalaysia (PAS) contohnya
diterjemahkan sebagai “Hui Chjow Tang” yang membawa maksud “Parti Agama
Kaum Hui”.
Meskipun demikian, usaha-usaha untuk mempopularkan perkataan Islam
secara terus dan literal iaitu “Ye Si Lan” dalam fonetik bahasa Mandarin
sedang giatkan dilakukan. PAS juga mestilah dikenali dalam bahasa
Mandarin sebagai “Ye Si Lan Tang” iaitu Parti Islam. Ia penting kerana
sesuatu perkataan itu mesti sampai mengikut psike bahasa asalnya dan
bukan psike penterjemahnya.
Hudud
Memahami kebimbangan masyarakat Cina kepada undang-undang hudud ialah
dengan kita cuba memahami terlebih dahulu apakah terjemahan kepada
Bahasa Mandrin bagi istilah ‘hudud’.
Mereka menterjemahkannya sebagai “undang-undang memotong anggota badan”
atau terjemahan terusnya “amputation law”. Walaupun sesetengahnya
menterjemahkan kepada “undang-undang jenayah Islam” tetapi penggunaan
yang awal itu digunakan disebabkan kebimbangan terhadap hudud.
Sama ada kebimbangan itu kerana dianggap kejam atau kebimbangan mereka turut ‘dipaksakan’ untuk menerimanya sebagai hukuman.
Bagi saya terjemahan yang lebih hampir pada roh pada semangat hudud
adalah “undang-undang jenayah syariah” dan bukan “undang-undang memotong
anggota badan”.
Apakah pula istilah “syariah” dalam bahasa Mandarin? Sedangkan istilah
syariah membawa maksud panduan fiqah ke atas seorang Muslim dalam
keperluan akidah, ibadah dan muamalatnya.
Hudud adalah aspek punitif kepada keseluruhan rangka syariah yang
dimaksudkan. Apakah penghuraian ini diberikan keadilan dalam dalam psike
Bahasa Mandrin sekaligus memberi perspektif yang jauh daripada sekadar
potong anggota badan atau mengkudungkan anggota badan?
Psike bahasa yang agak rumit perlu kepada perbincangan akademik supaya
Bahasa Mandarin yang dipengaruhi alam Melayu diberikan terjemahan yang
lebih menyegarkan dan positif dalam memahami maksud bahasa asalnya.
Kebimbangan
Kebimbangan ada kepada semua anggota masyarakat dan ia menjadi lebih
‘real’ apabila konflik menuntut hak menjadi asas. Psike masyarakat Cina
amat membimbangi bahasa, budaya dan adat resamnya terhapus dan cair.
Kebimbangan ini terbawa-bawa kepada isu lain yang mereka anggap merampas
hak mereka. Bukanlah sangat mereka mempertikaikan hudud hanya untuk
orang Islam tetapi mereka sering mengaitkan apa situasinya apabila dua
agama yang berlainan Islam dan bukan Islam didapati bersalah maka hanya
yang Islam kena hudud dan yang seorang lagi tidak kena hudud.
Dualisme perundangan ini dikhuatiri tidak memberi keadilan kepada
pesalah. Kebimbangan seterusnya ialah apakah jaminan bahawa mereka juga
kelak tidak akan dikenakan di bawah undang-undang hudud?
Psike masyarakat Cina kepada pemerintah juga hasil dari sejarah panjang
interaksi mereka bawah pemerintahan dinasti China. Banyak pemberontakan
yang berlaku atas nama menentang kerajaan yang tidak adil.
Sifat penentangan ini dalam diaspora masyarakat Cina diterjemahkan dalam
perjuangan menuntut hak mereka melalui ruang demokrasi. Hudud bagi
psike politik mereka bukan agenda parti-parti yang mereka bawa ke dalam
parlimen.
Mereka mahukan kerajaan yang korup tumbang dan cara mereka ialah
menyokong parti yang dapat membawa hasrat ini. Mereka ada hak untuk
mempertikaikan hudud melalui parti yang mereka bawa masuk khususnya
Pakatan Rakyat kerana masyarakat Cina mengundi hampir 80 peratus untuk
calon Pakatan.
Walaupun hudud di Kelantan tetapi suara yang hendak meluluskannya di
Parlimen juga adalah suara mereka. Psike politik demokrasi hari ini
adalah warisan sensitiviti dan keprihatinan mereka dalam hubungan dengan
kerangka kuasa yang ada.
Pertembungan Psike?
Saya tidak melihat isu hudud adalah isu Islam dan anti-Islam kerana ia
terlalu simplistik dalam dunia yang penuh komplikasi hari ini. PAS
khususnya harus mengurus isu hudud ini melampaui jalur hukum tetapi
hendaklah merentasi jalur demokrasi, perundangan dan teknikalitinya
serta lebih memahami psike masyarakat selain Melayu bagi menemukan
perjuangannya dalam konteks masyarakat plural hari ini.
Artikel awalan ini cuba untuk merentasi jalur psike untuk mendalami
masalah hudud bukan daripada psike Melayu tetapi dari minda, jiwa dalam
dan intelektual masyarakat Cina.
DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA adalah Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS.
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'
1 comment:
Rujuk Surah Ibrahim ayat 28 - 39. Ayat sebelum nya perbandingan.
Jawapan nya jelas. Psike cina, melayu itu tidak wujud. Pemahaman mereka tidak di selaraskan dengan dunia semasa. Realiti nya mereka terikat dengan tulisan mandarin itu sendiri yang terbit dari setiap pergerakan yang mereka lalui di jadikan simbol di kenali.
Itu kenapa Islam pun mereka panggil Agama Hui - satu simbol yang sinonim berdekad.
Semua ini pemahaman. Cina Malaysia tidak faham apa itu Islam. Hanya segelintir yang berilmu tentang nya. Lihat sahaja LKS yang dari awal hingga kini, tidak pernah ingin mengenali Islam, paling tidak demi politik nya.
Cina ini satu bangsa yang komplek walau di bumi mana mereka berada. Berasimilasi dengan budaya setempat apabila mereka merasakan terlalu minoriti di kawasan majoriti Melayu - di Kelantan, pekan-pekan di merata Semenanjung.
Bila padat kependudukan mereka seperti di bandar, wajah dan perangai rasis, cauvinis di baur fahaman komunis amat terserlah ! Jangan lupa, tiada istilah liberalisma, sekular dll nya kerana sikap dan laku mereka bujur lalu melintang patah yang berlawanan fitrah Islam. Mereka makan apa saja.
Cina amat berpegang sembahan kepada nenek moyang, budaya dan tradisi setiap kaum nya. Mereka di ajar menghormati dan tidak mengingkari yang tua. Apa lagi kepada yang bergelar sifu. Itu kenapa di Malaysia mereka tegar bisa kerana Melayu sering di anggap tidak berpendirian. Mudah di rasuah dan di jual beli kerana pegangan Islam begitu longgar kerana perpecahan ummah.
Post a Comment