Jokowi mengumumkan keputusan itu selepas menandatangani dokumen-dokumen pendaftaran untuk dikemukakan kepada Komisi Pemilihan Umum (KPU) bersama pemimpin rakan gabungan iaitu Partai Nasional Demokrat (NasDem), Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Partai Hati Nurani Rakyat atau Hanura.
"Selepas perbincangan komprehensif dan berbincang dengan pemimpin parti-parti gabungan, kami membuat keputusan memilih Bapak Muhammad Jusuf Kalla untuk menjadi calon gandingan saya," kata Jokowi dalam pengumuman ringkas di bangunan Gedung Juang yang bersejarah di Menteng, Jakarta Tengah.
Jokowi mengucapkan terima kasih kepada para hadirin atas sokongan mereka dan melahirkan keyakinan bahawa beliau dan Jusuf Kalla boleh membawa perubahan kepada negara. Sementara itu, Jusuf Kalla melahirkan kesediaan untuk bertanding sebagai sebagai calon gandingan Jokowi pada pemilihan umum presiden pada 9 Julai.
"Saya bersedia menemani Pak Joko Widodo dalam pemilihan dan berharap bahawa kami dapat memacu masa depan yang lebih baik bagi Indonesia," kata Jusuf Kalla dan menambah beliau bersedia mengiringi Jokowi demi kebaikan negara.
PDI-P dan parti gabungan dijangka mengandingkan Jokowi dengan Kalla, yang dipercayai telah dicadangkan oleh Surya Paloh, pengerusi NasDem.
Surya dan Jusuf Kalla sebelumnya pernah berkhidmat bersama sebagai pegawai tertinggi Parti Golkar sehingga Surya meninggalkan parti untuk menubuhkan NasDem. Calon presiden mempunyai masa sehingga tengah malam pada Selasa untuk mendaftar dengan KPU.
Prabowo Subianto dari Partai Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) juga dijangka mendaftar lewat hari ini. Beliau sebelumnya menamakan Hatta Rajasa daripada Partai Amanat Nasional (PAN) sebagai calon gandingannya. Selepas mendaftar, calon-calon akan menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tentera Gatot Subroto di Jakarta Tengah lewat minggu ini. (IH)
No comments:
Post a Comment