PETALING JAYA: Dyana Sofya Mohd Daud, setiausaha politik kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan percubaan untuk mencemarkan imejnya dengan penyebaran gambar palsu dia berbikini adalah satu perbuatan politik yang garuk terutamanya ke atas seorang wanita sepertinya.
Dyana yang disebut-sebut bakal diumumkan sebagai calon DAP pada Sabtu untuk pilihan raya kecil Teluk Intan berasa kesal bagaimana orang boleh merendahkan diri mereka sehingga sebegitu sekali dengan menyebarkan fitnah tanpa usul periksa.
Berkata demikian melalui satu kenyataan media pada Jumaat, Dyana, 27, menegaskan foto berbikini yang disebar itu adalah foto aktres Filipina, Pauleen Luna.
“Sementara saya berpendapat yang aktres berkenaan adalah seorang yang sangat menarik, tetapi menggunakannya untuk menyebarkan fitnah yang kononnya gambar itu adalah saya benar-benar memperlihat betapa garuknya politik sesetengah orang khususnya ke atas wanita,” ujar ahli politik lulusan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara itu.
Kata Dyana, sejak berita palsu itu disebarkan menerusi internet dia telah menerima beratus mesej yang mencaci dan menghinanya selepas nombor telefonnya diketahui ramai.
Tetapi disebalik kempen yang disebarkan itu dengan niat untuk memburuk-burukkannya, Dyana berkata yang dia berasa bersemangat dengan sokongan yang diterima daripada mereka yang percaya kepada perjuangannya.
“Di sebalik mereka yang menghina, ramai juga yang menelefon dan memberi kata-kata semangat dan menyatakan kepercayaan kepada saya. Hakikatnya orang seperti mereka lah yang membuatkan saya percaya dan yakin dengan apa yang saya perjuangkan.
“Dan sebaliknya mereka yang menyerang saya juga telah memberikan saya sebab yang kuat untuk meneruskan apa yang telah saya lakukan ini,” katanya lagi. (mStar)
1 comment:
Selagi gambar ini masih ada, fitnah anda semakin lama semakin melekat dlm tubuh badan anda. Wanita berbiki itu adalah seorang pelakun Filipina.
Post a Comment