Wednesday, May 28, 2014

Isu Hudud Goncang Gabungan PR - MP PAS


Datuk Dr Mujahid Rawa


KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan Kelantan pimpinan PAS untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu telah menyebabkan gabungan Pakatan Rakyat goyang, kata pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional pusat Datuk Dr Mujahid Rawa.

Beliau berkata walaupun isu itu dianggap sebagai isu negeri tetapi ia telah memberi kesan kepada PR terutama di Semenanjung kerana kanun jenayah Islam ini tidak pernah dibincangkan semasa pembentukan gabungan itu pada 2008.

Katanya hudud juga bukan sebahagian daripada agenda apabila PAS, PKR dan DAP menandatangani rangka dasar bersama atau pun dimasukkan dalam "Buku Jingga" yang menggariskan dasar-dasar Pakatan Rakyat dalam keseluruhan aspek pentadbiran negara untuk jangka panjang.

"Saya juga harus berterus-terang dan mengaku bahawa secara realiti, masyarakat menganggap PR tidak dapat menyelesaikan perbalahan. Masyarakat juga tidak mempunyai keyakinan bahawa kami boleh mencapai persefahaman bersama mengenai hudud," kata beliau.

Beliau berkata demikian sebagai speaker pada forum tentang "Perspektif Kemunculan Mengenai Hudud di Malaysia", anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) di sini, Selasa.

Mujahid yang juga anggota parlimen Parit Buntar berkata Pakatan Rakyat mesti mencari penyelesaian bagi mengembalikan keyakinan rakyat.

"Ya, PAS amat komited untuk melaksanakan hudud tetapi kami juga menghormati proses demokrasi. Kami mengamalkan politik yang matang dan sebab itulah kami terbuka kepada perbincangan dan mendengar kritik," kata beliau.

Sementara itu, anggota Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin berkata hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia sehingga rakyat memberi restu dan menerima bahawa undang-undang Islam adalah sebahagian daripada kehidupan mereka.

Hanifa, seorang peguam bersetuju bahawa masyarakat mungkin menganggap hudud sebagai bercanggah dengan perlembagaan kerana adalah lumrah untuk bercanggah pendapat tetapi percanggahan itu harus disalurkan melalui saluran yang betul dan menyerah kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Fathul Bari Mat Jahaya mencadangkan supaya golongan bukan Islam dibenarkan untuk menganggotai Jawatankuasa Teknikal berkaitan hudud supaya mereka mendapat penerangan yang jelas dan diberikan ruang untuk menyuarakan kebimbangan berhubung undang-undang Islam itu.

"Pada perbincangan jawatankuasa itu kita boleh bertanya secara terus terang mengenai soalan yang mungkin boleh menyentuh sensitiviti mereka jika dilakukan secara terbuka, seperti mengapa mereka takut dengan pelaksanaannya?," katanya. (mStar)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails