KOTA BHARU: Pemuda Umno tidak boleh lari daripada masalah yang dicetuskan anggota parti khususnya Ulama Muda Umno (Ilmu) dengan memberi alasan "ia hanya kenyataan peribadi".
Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Mumtaz Md Nawi berkata, sikap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang tidak mahu bertanggung jawab dengan kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Ulama Muda Umno Ahmad Radzi Othman amat dikesali.
Menurut Mumtaz, selagi Radzi masih bersama parti itu kenyataannya perlu dipertanggungjawabkan melainkan beliau telah melepaskan jawatan.
Mumtaz mengulas keengganan Radzi memohon maaf atas keceluparannya menyamakan muslimat bertudung labuh yang menghadiri perhimpunan membantah GST 1 Mei lalu sebagai "pelacur kelas atasan".
Mumtaz juga melahirkan kehairanan dengan sikap Ulama Muda Umno yang hanya berdiam diri apabila enam remaja meninggal dunia akibat mengambil dadah berlebihan dalam konsert di Stadium Bukit Jalil tetapi begitu sensitif dengan himpunan membantah GST.
“Kenapa tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, mengkritik atau menegur mana-mana pihak yang meluluskan program yang benar-benar bercanggah dengan Islam,”soalnya.
Mumtaz yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkata demikian ketika ditemui selepas majlis ceramah penerangan GST anjuran PAS Kawasan Kubang Kerian, di Cabang Empat Binjai di Masjid Binjai, dekat sini malam tadi.
Beliau menambah, oleh kerana Radzi enggan memohon maaf, Muslimat PAS akan berusaha mengheret ulama Umno itu ke muka pengadilan.
Turut berucap pada majlis itu Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Anggota Parlimen Kubang Kerian, Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi. Hampir 2,000 hadir pada majlis ceramah bantah GST peringkat Kubang Kerian itu. - HARAKAHDAILY, 9/5/2014
No comments:
Post a Comment