Wednesday, May 28, 2014
MB S'ngor, 'Atuk' Lawat 5 Beradik Yatim Piatu
Abdul Khalid bermesra dengan lima anak yatim piatu ketika melawat mereka yang baru kematian ibu bapa di Taman Desa, Cheras. Foto Selangor Kini.
KUALA LUMPUR: Kisah duka lima beradik yang bergelar yatim piatu dalam sekelip mata baru-baru ini mendapat perhatian Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak semalam hadir menziarah kelima-lima adik beradik yang kemudian memanggilnya dengan panggilan ‘atuk’.
Abdul Khalid yang turut membiasakan dirinya dengan panggilan itu sepanjang pertemuan juga memilih untuk duduk bersila dan memangku serta berkongsi cerita bersama kelima-lima anak itu.
“Sebagai Ahli Parlimen, saya akan terus memantau dan membantu serba sedikit agar anak-anak ini terjaga dengan baik.
“Tumpuan kita adalah memastikan mereka mendapat bantuan jangka masa panjang terutama dari segi persekolahan, tempat tinggal serta kos sara hidup,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau hadir di rumah peninggalan arwah ibu bapa lima anak-anak malang itu di Taman Desa Cheras di sini. Walaupun anak-anak itu letih baru pulang dari Perak, mereka masih petah berkata-kata dan melayan setiap pertanyaan Abdul Khalid.
“Atuk juga ada cucu berusia tiga tahun, sama dengan awak tetapi dia main patung ‘power rangers’,” guraunya dengan anak perempuan yang paling kecil berusia tiga tahun.
Selepas hampir sejam meluangkan masa, Abdul Khalid kemudian terpaksa minta diri untuk urusan penting dan berkesempatan menghulurkan sumbangan peribadi kepada wakil penjaga. Kelima-lima anak itu yang berusia antara tiga hingga 16 tahun kini berada di bawah jagaan saudara terdekat dengan bantuan jawatankuasa surau pangsapuri berkenaan.
Jumaat lepas, bapa mereka, Jefri Mohd Zain 46 dan isterinya, Norsalawati Ibrahim 40, terlibat dalam satu kemalangan maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Loke Yew. Jenazah suami isteri itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sungkai, Perak. - Selangor Kini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment