Friday, May 09, 2014

Mereka Tidak Memahami Hudud - Kumutha Raman

 





KUALA LUMPUR: Tindakan Wanita MCA membuat laporan polis berhubung hasrat PAS Kelantan membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian bagi melaksanakan hudud di Kelantan disebabkan kurangnya kefahaman mereka terhadap hukum tersebut.

Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP), Kumutha Raman, berpandangan tindakan itu disebabkan mereka bukan beragama Islam dan tidak memahami secara jelas berkaitan hukum jenayah Islam.

"Mereka tidak tahu dan tidak faham tentang hudud. Sebab itu mereka bimbang dan mendakwa akan menggugat keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.
"Jika mereka faham apa itu hudud, saya fikir mereka tidak mempunyai masalah dengan hasrat kerajaan negeri Kelantan itu," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang menyokong pelaksanaan hukum hudud menambah, jika rakyat bukan Islam di negara ini diberikan penerangan secara terperinci berkaitan hudud, ia tidak menimbulkan pelbagai kerisauan dan persoalan di kalangan mereka.

Berdasarkan pengalaman beliau menjadi salah seorang panelis pada majlis forum berkaitan hudud di Sabak Bernam, minggu lalu, beliau mendapati kebanyakan hadirin bukan Islam yang membangkitkan persoalan berkaitan hudud akhirnya jelas dan faham dengan penerangan yang diberikan pada majlis tersebut.

"Saya ditemui hadirin selepas tamat forum hudud tersebut yng akhirnya mengakui faham tentang hudud ini. Malah ada di kalangan mereka yang berasakan pelaksanaan hudud ini boleh membantu mencegah kegiatan jenayah yang semakin berleluasa," jelas beliau.

Ekoran penerimaan itu, Kumutha yang juga penasihat undang-undang di sebuah firma guaman, mengharapkan lebih banyak siri forum penerangan berkaitan hudud diadakan bersama nonmuslim dengan menampilkan para ahli panel yang berkelayakan.

Malah, katanya menampilkan ahli panel di kalangan wakil DHPP yang memahami berkenaan hudud juga amat dialu-alukan bagi memudahkan lagi komunikasi di antara kelompok bukan Islam.

Semalam, Wanita MCA melalui Setiausaha Agungnya, Ooi Siew Kim membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, mendakwa usul tersebut bakal menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama. Mereka juga bimbang ia akan mengancam dan menjejaskan ketenteraman rakyat secara umum. - HARAKAHDAILY, 9/5/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails