Monday, May 12, 2014

Pemilihan PKR Huru-hara, Cerminkan Krisis Kepimpinan?

Pekerja pilihan raya mengira kertas undi semasa pemilihan parti PKR untuk Bandar Tun Razak di Cheras. – Gambar The Malaysian Insider, 12 Mei, 2014. 
Pekerja pilihan raya mengira kertas undi semasa pemilihan parti PKR untuk Bandar Tun Razak di Cheras. – Gambar The Malaysian Insider, 12 Mei, 2014.

Suasana huru-hara dalam pilihan raya PKR di Selangor hujung minggu lepas mencerminkan tahap krisis kepimpinannya, di mana pemimpin utama mereka berebut untuk menerajui parti berusia 15 itu untuk menawan Putrajaya, kata pemerhati politik.

Ini pula boleh memberi kesan kepada cara parti ini maju ke hadapan dan bagaimana ia akan berfungsi dengan efektif dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) dan dalam kerajaan, kedua-dua negeri dan Persekutuan, tambah mereka.

Seorang pemerhati juga mengatakan kegagalan parti itu untuk melangsungkan pilihan raya yang lancar akan menjejaskan imejnya sebagai penyokong demokrasi dan pilihan raya bersih dan adil. Menurut ahli PKR, pilihan raya ini sepatutnya menghentikan pergaduhan antara dua ikon terbesar parti itu, Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kedua-dua personaliti peringkat nasional itu sebahagian daripada generasi akan datang yang akan mengambil alih kepimpinan parti jika apa-apa terjadi kepada pemimpin de factonya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sesiapa yang memenangi jawatan timbalan presiden yang direbut ramai akan dapat merangka hala tuju parti itu, termasuklah bagaimana PAS dan DAP dapat berfungsi dengan efektif sebagai rakan PR.
Difahamkan berlaku banyak kekecohan dan pergaduhan antara ahli parti antara kem Khalid dan Azmin semasa proses undian semalam di kebanyakan daripada 22 cabang di Selangor. Selangor memiliki keahlian lebih daripada 30%, iaitu 16,000 daripada jumlah keseluruhan ahli PKR seramai 500,000.

Jumlah itu menyebabkan kebanyakan pemilihan di pusat undi menjadi panas, kata seorang pemimpin di cabang Kuala Lumpur. Keputusan awal pada 4 Mei lalu menunjukkan Azmin mendahului Khalid dengan beza 3,659 undi yang sekaligus sapu bersih undi dengan mudah semasa akhir hari pengundian, menurut sumber Selangor.

Semalam, 12 daripada 22 cabang Selangor dibatalkan pemilihan selepas perbalahan antara pengundi yang tidak berpuas hati dengan pengendalian proses undi. 12 cabang terbabit adalah Subang, Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Langat, Sepang, Klang, Kuala Selangor, Selayang, Kota Raja, Shah Alam, Sungai Besar, dan Kapar.

Difahamkan, berlaku insiden bertumbuk antara ahli di cabang Sepang, sementara di Kota Raja, sekumpulan lelaki berang bertindak menendang dan menterbalikkan peti undi dan meja di pusat mengundi. Manakala di Hulu Selangor, berlaku perbezaan undi apabila jumlah undi tidak sama dengan jumlah ahli keluar mengundi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin ketika mengulas insiden terbabit berkata, tindakan JPP yang gagal mengawal keadaan memalukan parti dan menggesa supaya kepincangan dalam pemilihan diperbaiki segera.

"Majlis Pimpinan Negeri (MPN) melahirkan rasa kesal kerana sebahagian daripada Pengawas Pusat tiba lewat di pusat mengundi dan menyebabkan kelewatan proses mengundi bermula.
"Tatakelola JPP yang dilihat seperti melepaskan batuk di tangga ini memalukan parti.
"Diharap JPP segera membaiki kepincangan dalam Pemilihan 2014 agar proses demokrasi dapat dilaksanakan oleh anggota dan maruah parti dapat dikembalikan," katanya.

Sebelum ini, 17 cabang PKR di seluruh negeri dibatalkan pemilihannya disebabkan beberapa masalah. Penganalisis politik, Khoo Kay Peng berkata kecacatan pemilihan parti akan memberi kesan kepada kredibiliti PKR untuk maju ke hadapan dan membebankan barisan kepimpinan barunya untuk membetulkan semula persepsi rakyat terhadap imej parti itu.

"Pilihan raya yang teratur dan lancar amat penting, kerana pemenang barunya akan dihormati malah keputusannya juga akan diterima calon yang kalah.
"Jika tidak, pihak yang kalah tidak akan menerima keputusan pemilihan dan ini akan memberi impak kepada perjalanan parti selepas itu," katanya.

Situasi ini penting bagi Azmin dan Khalid yang berbalah secara terbuka sejak akhir tahun lalu dan berterusan sehingga kepada pemilihan parti bulan lalu. Persaingan antara dua kuasa besar parti itu juga memberi kesan kepada pentadbiran Selangor apabila Azmin didakwa sebagai dalang yang cuba menjatuhkan kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar dengan mengganggu polisi kerajaan negeri.

Jika keputusan pemilihan parti menunjukkan undi tidak memihak kepada mana-mana kem, akar umbi bimbang krisis Selangor akan lebih meruncing berbanding sebelumnya. Khoo juga berkata, sebagai parti yang lantang mengkritik perjalanan pilihan raya negara, polisi itu malangnya tidak menggambarkan perjalanan pilihan raya PKR sendiri yang gagal menguruskannya dengan baik.

"Sedangkan kamu sendiri tidak mampu mengawal pemilihan parti sendiri, bagaimana hendak bagi contoh yang baik kepada rakyat lain," soalnya. – 12 Mei, 2014.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails