Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kelemahan proses Pemilihan PKR 2014 termasuk insiden kekerasan dan gangsterisme yang berlaku di beberapa cabang.
Mendakwa perbuatan itu juga dilakukan orang luar dan bukannya ahli parti, Anwar berjanji mendedahkan bukti video kepada umum setelah selesai proses siasatan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).
"Saya bersetuju secara telus bukti video disiarkan. Itu pendapat saya.
"Usul Mesyuarat Biro Politik semalam ialah mendedahkan semua maklumat kepada awam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.
"Kita sudah belajar daripada Pemilihan 2010 tetapi tidak sangka jumlah anggota yang turun mengundi sangat ramai. Tetapi kita masih beri kebebasan penuh kepada sekretariat untuk mengendalikannya," katanya.
Anwar berkata, walaupun wujud kepincangan sepanjang pemilihan, pihaknya bertegas tidak akan melindungi penipuan atau jenayah kekerasan seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU).
"Kita ada beberapa laporan beserta bukti video dan gambar bukan ahli parti yang terlibat serta ahli dimasukkan saat akhir sebelum tutup tempoh keanggotaan pada 15 Mac.
"Kami sepakat sama ada calon-calon dan biro politik bagi sokongan kuat kepada JPP untuk pecat serta-merta mana-mana anggota yang langgar disiplin dan melakukan keganasan," katanya.
Katanya, wujud juga cubaan membatalkan PKR dengan mengheret parti ke Pendaftar Pertubuhan (RoS) ekoran kekecohan yang berlaku sepanjang pemilihan.
"Saya nak ingatkan ada percubaan untuk heret RoS, seperti yang berlaku pada DAP, mereka beri ruang awal bagi pihak pemerintah untuk persulit urusan kita.
"Tetapi kita akan pastikan proses diikuti dan sebarang bantahan akan dibuat ikut saluran," katanya. – 16 Mei, 2014. (TMI)
No comments:
Post a Comment