Tuesday, May 20, 2014

Rahib Itu Meninggal Dunia Selepas Diserang


Seorang daripada dua rahib yang diserang di luar sebuah gereja di Seremban dalam kejadian hari Rabu lalu meninggal dunia hari ini ekoran kecederaan parah yang dialaminya.

Julianna Lim, 69, meninggal dunia di Hospital Seremban pada jam 3.25 petang ini. Perkara itu disahkan oleh peguamnya Joy Appukuttan. Katanya, pihak gereja Infant Jesus akan mengeluarkan satu kenyataan tidak lama lagi.

Dalam kejadian pada pagi hari Rabu itu, Lim dan seorang lagi rahib, Sister Marie Rose @ Theresa Teng diserang dalam satu kes rompakan di luar gereja Church of Visitation ketika dalam perjalanan pulang dari satu upacara keagamaan.

Ketika dihubungi pihak biskop Kuala Lumpur menyatakan pihaknya telahpun dimaklumkan mengenai kes kematian itu. Maklumat lanjut mengenai kematian berkenaan akan didedahkan esok. Laporan The Star hari ini menyebut, rakaman video litar tertutup menunjukkan dua orang rahib itu dipukul berkali-kali menggunakan satu topi keledar.

Rakaman itu menunjukkan penyerang yang memakai topi keledar dan memegang lampu suluh, mengejar dua orang rahib berkenaan dalam kejadian tersebut. Mereka ditemui dalam keadaan berdarah oleh seorang pekerja gereja dan dihantar ke hospital. Polis percaya kejadian itu bermotifkan rompakan dan telahpun meningkatkan kawalan di kawasan terbabit. (MK)

No comments:

Post a Comment